Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mencontohi Allahyarham Hussein Onn yang mengadakan mesyuarat tergempar untuk mendapatkan undi percaya terhadap kepemimpinannya.
Beliau berkata demikian selepas sidang parlimen yang sebelim ini dijadualkan selama sebulan bermula 9 Mac ditangguhkan sehingga 18 Mei depan.
Kata Lim, sepanjang ingatannya Hussein mengadakan sidang tergempar Parlimen pada 26 Jan 1976 - sebelas hari selepas pelantikannya sebagai perdana menteri ketiga berikutan kematian perdana menteri ketika itu, Allahyarham Abdul Razak Hussein.
"Hanya selepas undi percaya kepadanya sebagai perdana menteri diluluskan oleh Dewan Rakyat barulah Parlimen meneruskan urusan lain termasuk pembukaan Parlimen tahunan yang ditetapkan pada 30 Mac.
“Urusan lain juga membabitkan upacara mengangkat sumpah sebagai MP baru untuk Pekan, iaitu Najib Razak," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Veteran DAP itu mendakwa penangguhan tersebut telah ditafsirkan sebagai "tanda kelemahan" ketika persepsi umum adalah ramai yang percaya bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri yang sah.
Beliau juga mempersoalkan kewajaran sidang Parlimen diadakan pada bulan Ramadan ketika umat Islam akan berpuasa.
"Ini mungkin kali pertama dalam sejarah negara selama lebih enam dekad yang Parlimen bermesyuarat pada bulan puasa.
"Kenapa Parlimen tidak boleh dipanggil untuk bersidang lebih awal dan menamatkan mesyuarat sebelum permulaan bulan puasa, yang dijangka bermula pada 25 April?" soal Lim.
Katanya, ketika 44 tahun lalu, tidak ada keraguan atau persoalan mengenai sokongan majoriti ahli parlimen buat Hussein.
"Tetapi hari ini, ia sangat berlainan kerana rakyat Malaysia, termasuk perdana menteri keempat dan ketujuh Dr Mahathir Mohamad, tidak percaya bahawa Muhyiddin menikmati sokongan majoriti ahli parlimen," kata Lim.