Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi dakwa Joshua pernah beritahu tentang ugutan bunuh

Saksi ketujuh inkuiri kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy, hari ini mendedahkan bahawa Joshua pernah memberitahunya bahawa dia diancam pada tahun 2009.

Saksi berkenaan, Iman Sitepu, 39 – yang merupakan adik lelaki Ruth-menambah bahawa Joshua turut memberitahu ayah angkatnya, Bebas Bagun, bahawa dia terima ancaman bunuh pada tahun 2015.

Bagaimanapun, Iman memaklumkan bahawa Bebas memberitahunya tentang perkara itu selepas dia membuat laporan polis di Malaysia dan Indonesia pada tahun 2018.

“Sesudah saya kembali dari Malaysia pada 2 Mac 2018, saya pulang ke Nambiki (Sumatera Utara Indonesia) dan beritahu berkenaan Joshua dan Ruth.

“Bebas Bagun (ayah angkat Joshua) berkata pada saya yang Joshua beritahu 'Pak kami mahu dibunuh',” katanya semasa memberi keterangan kepada panel inkuiri di Ibu Pejabat Surahanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Iman, Joshua dan Bebas sering berhubung menerusi telefon sebelum Joshua dilaporkan hilang.

Pendengaran hari ini dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus bersama pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Sementara itu, ditanya Hishamuddin mengapa dia tidak membuat laporan polis di Indonesia susulan mendengar ancaman yang diterima Joshua, Iman berkata dia tidak mengambil serius ugutan itu.

“Tidak ada (laporan polis dibuat di Indonesia) kerana saya rasa tekanan, biasalah orang jahat ramai kan, jadi saya rasa tidak ada masalah,” katanya.

Untuk rekod, Joshua – yang berasal dari Taiping, Perak- memeluk agama Kristian selepas keluar daripada agama Islam dan berkahwin dengan Ruth –yang merupakan seorang warganegara Indonesia beragama Kristian-pada 2004.

Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.

Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Inkuiri hari ini ditangguh pada 4.30 petang dan akan disambung semula esok


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS