Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
R nampak ada harapan cerah dapat royalti minyak dari PM baru

Pertubuhan pendesak Royalti Kelantan (R) bercadang mahu mengetengahkan semula perjuangan mereka dengan harapan ia mendapat perhatian Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Presiden R, Nazri Deraman, berkata pihaknya akan membawa dua perjuangan utama rakyat Kelantan untuk perhatian perdana menteri iaitu tuntutan royalti petroleum dan hak pendaratan dan pemprosesan petroleum.

"Kami amat yakin bahawa isu ini sudah dalam pengetahuan perdana menteri.

"Kami sendiri telahpun mengadakan kunjungan hormat dan menyerahkan memorandum tuntutan royalti ketika beliau berkunjung ke Kelantan pada 2016 lalu," katanya.

Nazri juga memberitahu pertikaian bayaran royalti petroleum kepada Kelantan juga mendapat liputan meluas dalam media massa selain media sosial sejak 2010 lagi.

"Malah pelbagai parti politik - sama ada parti pemeritah atau pembangkang - memasukkan isu royalti dalam menifesto masing-masing untuk pilihan raya umum ke-13 dan 14 dengan ikrar untuk menjelaskannya, selain membangunkan industri petroleum di Kelantan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Nazri berkata demikian sebagai mengulas harapan yang diletakkan R kepada Putrajaya atas pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri baru.

Beberapa isu kecil

Pada 2 Mac lalu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad selepas berlakunya krisis politik yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) gagal menguasai kerajaan selepas hilang sokongan majoriti di parlimen.

Sementara itu Nazri berkata, asas tuntutan R adalah amat jelas kerana ia bersandar kepada perjanjian royalti yang telah ditandatangani oleh Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

Katanya Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian royalti tersebut dengan jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam perairan atau di luar perairan Kelantan.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh R, bayaran royalti petroleum Kelantan yang tertunggak sehingga kini berjumlah melebihi RM15 billion.

"Jumlah tersebut dikira bermula dari pengeluaran pertama pada 1992 yang dicatatkan dari Medan Jerneh (empat per lima kawasan medan ini berada dalam perairan Kelantan dan selebihnya dalam perairan Terengganu).

"Kawasan pengeluaran petroleum Kelantan terdapat di beberapa blok iaitu PM301, PM302, PM303, Join Development Area (perkongsian bersama Thailand) dan PM3-CAA (perkongsian bersama Vietnam). Jumlah royalti setahun dari telaga-telaga minyak tersebut dianggarkan berjumlah melebihi RM1 bilion," katanya.

Justeru tambahnya, R percaya kemelut politik tanah air yang berlaku kini tidak menghalang proses pembayaran royalti yang sedang diusahakan berikutan pembatalan saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan pada 13 Mei 2019.

Kini jelasnya, hanya tinggal beberapa isu kecil yang perlu diselesaikan seperti penentuan sempadan laut Kelantan-Terengganu dan rundingan menentukan jumlah yang sepatutnya diterima oleh negeri terbabit.

"Seharusnya perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat dalam suku pertama atau selewat-lewatnya suku kedua tahun ini.

"Pembetukan kerajaan persekutuan yang baru sememangnya memberikan peluang yang lebih cerah kepada rakyat Kelantan untuk menikmati kejayaan di atas perjuangan yang telah lama diidamkan oleh setiap rakyat Kelantan ini kerana kerajaan di peringkat persekutuan akan disertai oleh pemimpin yang memperjuangkan isu royalti sebelum ini.

"Kami menyeru seluruh rakyat Kelantan agar terus berdoa agar Allah mempermudakan urusan pembayaran royalti sehingga menjadi kenyataan. Rezeki royalti untuk rakyat Kelantan pasti tiba tidak lama lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS