Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunjukkan tanda kelemahan apabila menangguhkan sidang Dewan Rakyat, yang pada mulanya dijadual 9 Mac ini, kata Anggota Parlimen Subang Wong Chen.
Anggota parlimen PKR itu mempersoal keperluan Muhyiddin untuk menundanya sehingga 18 Mei ini, yang dilaporkan untuk memberi masa kepadanya melantik barisan menteri baru.
"Seorang perdana menteri yang bagus dan teratur akan memanggil Parlimen untuk bersidang secepat mungkin, dan tidak melangkaui akhir Mac, untuk menunjukkan beliau telah memperkukuhkan kuasa dan maka sah untuk memerintah.
"Penangguhan Parlimen begitu lama adalah tanda kelemahan yang jelas. Selamat maju jaya kepadanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berita Harian hari ini memetik Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof sebagai berkata, beliau menerima surat makluman daripada Muhyiddin untuk menangguhkan sidang Parlimen.
Sebelum ini sumber membayangkan penangguhan itu bagi memberi masa kepada Muhyiddin untuk melantik barisan kabinet serta "beberapa perkara yang perlu diselesaikan.
"Soalan-soalan untuk sidang Parlimen ini telah dikemukakan lebih awal jadi masa diperlukan untuk mengubah Aturan Urusan Mesyuarat dan juga soalan kini akan dijawab oleh menteri-menteri kabinet baru," kata sumber itu.
Wong mendakwa Muhyiddin mungkin berdepan masalah dalam pelantikan kabinet baru, membayangkan "tawar menawar (horse-trading" antara komponen dalam Perikatan Nasional.
"Satu-satunya nasihat saya kepada perdana menteri baru adalah untuk melantik anggota kabinet berdasarkan merit dan kebolehan.
"Beliau ada dua tugas penting dan segera; menstabilkan ekonomi dan pasaran serta menangani krisis Covid-19," katanya lagi.
Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, walaupun penangguhan sidang Parlimen sudah dijangka, Muhyiddin patut memanggil sidang tergempar, menurut Aturan Mesyuarat 11(3), untuk menentukan beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
"Keperluan menubuhkan Kabinet tidak patut dijadikan alasan oleh perdana menteri untuk mengabaikan persoalan penting - sama ada beliau ada sokongan majoriti di Dewan. Satu tarikh perlu ditetapkan untuk semua anggota parlimen berkumpul di Dewan Rakyat untuk tujuan itu.
"Urusan-urusan Parlimen yang lain boleh ditangguhkan sehingga Mei," kata anggota parlimen DAP itu.