Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PKR Selangor terus bersama-sama kerajaan PH negeri'
Diterbitkan:  Mar 4, 2020 2:39 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

PKR Selangor menyuarakan komitmen untuk terus bersama-sama kerajaan PH negeri itu untuk memenuhi mandat rakyat pada PRU ke-14.

Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari berkata, mereka juga akan terus setia dengan perjuangan parti pimpinan presidennya Anwar Ibrahim.

"PKR selaku tonggak PH di Selangor terus teguh bersama demi melaksanakan amanah rakyat.

"Saya di samping 18 adun PKR memberi sepenuh sokongan untuk mengukuhkan tekad kerjasama dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri," katanya dalam kenyataan.

Selain runtuhnya kerajaan PH minggu lalu, krisis politik yang berlaku turut menyaksikan perubahan beberapa kerajaan negeri.

Ekoran keluarnya Bersatu daripada PH, kerajaan PH Johor dan Melaka runtuh dan digantikan gabungan baru yang dikenali sebagai Muafakat Nasional - dianggotai Bersatu, Umno dan PAS.

Manakala keadaan kerajaan Kedah dan Perak masih belum jelas.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor turut menggesa semua anggota PKR khususnya di negeri itu agar mengukuhkan tekad untuk memenuhi mandat rakyat di situ.

"PKR Selangor mengulangi janji untuk terus setia dan bekerjasama dengan rakan-rakan dalam PH iaitu DAP dan Amanah," katanya yang sebelum ini dilihat sebagai antara pemimpin PKR yang menyokong bekas timbalan presiden, Azmin Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS