Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyata pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi diteliti

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meneliti penyata kewangan akaun bank Lewis & Co, yang dikatakan sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi.

Transaksi-transaksi dalam penyata kewangan itu diteliti dan disahkan oleh Pengurus Maybank cawangan Dataran Maybank, Leong Siew Kong yang hadir memberi keterangan hari ini.

Leong merupakan saksi ke-39 dalam perbicaraan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah dana Yayasan Akal Budi membabitkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang masuk hari ke-19.

Berdasarkan penyata kewangan Lewis & Co dari Mei 2016 hingga April 2018, kata Leong, terdapat kemasukan berjumlah RM 99,532,364.25 ke akaun itu, melalui 129 transaksi.

Sebanyak 112 daripadanya merupakan transaksi melalui cek, manakala yang lain pula melalui empat jenis transaksi lain.

Selain itu, kata Leong, terdapat 28 penempatan simpanan tetap (placement) dibuat bagi memindahkan wang daripada akaun pelanggan firma itu ke akaun simpanan tetap berjumlah RM68,378,347.95

Ini termasuklah satu penarikan (upliftment) dari akaun simpanan tetap bernilai RM2 juta, untuk dimasukkan ke akaun pelanggan Lewis & Co sebanyak RM300,000, manakala RM1.8 juta lagi dipindahkan semula ke dalam akaun simpanan tetap yang sama melalui placement baru.

Untuk rekod, Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Haziq Dhiyauddin Razali, Leong bersetuju bahawa langkah memindahkan wang dari akaun pelanggan ke akaun simpanan tetap adalah transaksi biasa, normal dan tidak menyalahi undang-undang.

Haziq: Jika ia salah, bank pasti sudah perasan?

Leong: Ya betul.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi pula, Leong mengakui amaun-amaun yang terlibat dalam transaksi berkenaan tidak akan mencetuskan “amaran” (redflag) sehingga pihak Maybank perlu memaklumkanya kepada Bank Negara Malaysia.

“Untuk akaun peguam, terutamanya akaun pelanggan, dia (amaun terlibat) tak akan mencetuskan (redflag) kerana ia pemegang amanah bagi pihak pelanggan,” katanya.

Zahid berdepan 47 tuduhan membabitkan 27 kes pengubahan wang haram, lapan kes rasuah dan 12 kes pecah amanah membabitkan wang Yayasan Akalbudi.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram pula, Ahmad Zahid dituduh menerima cek dianggarkan bernilai RM65 juta dari beberapa pihak melalui seorang peguam, yang kemudiannya didepositkan ke dalam akaun tertuduh.

Tertuduh kemudiannya didakwa menggunakan wang tersebut untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.

Perbicaraan yang dilakukan di hadapan Hakim Colling Lawrence Sequerah, akan bersambung Jumaat ini (6 Mac).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS