Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘MA63, isu minyak, gas keutamaan GPS, bukan jawatan kabinet’

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menggariskan syarat-syaratnya dalam menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata gabungan parti-parti di Sarawak itu berharap kerajaan akan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Alexander berkata, mereka juga mahu Muhyiddin mendengar dan akur bahawa negeri itu mempunyai hak dan kuasa untuk mengeluarkan lesen berhubung minyak dan gas di Sarawak.

Ini termasuk mengenakan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas petroleum di negeri itu bermula tahun 2019, katanya.

Kerajaan negeri Sarawak pada November 2019 menyaman Petronas untuk mendapatkan cukai jualan tertunggak daripada syarikat minyak dan gas negara itu.

Petronas bagaimanapun memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan cukai jualan negeri yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, adalah menjadi hak Sarawak bagi mendapatkan cukai jualan ke atas produk eksport petroleum.

"Kita mahu perdana menteri memahami tuntutan kami dan berharap dapat berunding secara bermakna bagi Sarawak mengenai isu-isu ini," katanya.

Beliau berkata ini lebih penting daripada aspek GPS menyertai kabinet yang masih belum ditubuhkan oleh Muhyiddin selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dua hari lalu.

Alexander mengulangi pendirian Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang berkata, keutamaan GPS bukan untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet persekutuan yang baru.

Portal Borneo Post memetiknya sebagai berkata tawaran jawatan kabinet bukan keutamaan ketika GPS memutuskan untuk mendukung Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Itu hal kedua. Tunggu dulu. Jika mereka jemput (bincang kedudukan dalam kabinet persekutuan), kita akan lihat.

“Kepentingan Sarawak diutamakan,” ketua menteri dipetik sebagai berkata.

Abang Johari dilapor berkata demikian selepas merasmikan minggu keharmonian antara agama dunia peringkat negeri hari ini.

Beliau berkata apa yang berlaku minggu lalu juga membuktikan keputusan mereka keluar BN selepas pilihan raya umum 2018 adalah tindakan tepat.

Katanya, jika tidak, mereka tidak akan mempunyai peranan dalam menyelesaikan krisis itu.

Setelah kebuntuan kira-kira seminggu, Perikatan Nasional membentuk kerajaan pusat baru dengan bantuan GPS.

GPS tidak menganggotai blok baru itu tetapi mengambil sikap mesra Perikatan Nasional.

GPS mempunyai 19 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai 13 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) - tiga; Parti Demokratik Progresif (PDP) - dua dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - satu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS