Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melayu tak sepatutnya mendekati perasuah, kata Syed Saddiq

Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengulangi ikrarnya untuk melawan rasuah dan tetap setia bersama parti itu.

"Saya masih bersama Bersatu. Kamu tahu mengapa saya dalam Bersatu? Sebab perjuangan Bersatu ialah menolak rasuah dan sesiapa yang menyalahgunakan kuasa," katanya semasa ditemui media pada hari terakhir sebagai menter belia dan sukan di Putrajaya.

Menurut Syed Saddiq lagi, beliau percaya langkah itu perlu dilakukan.

Justeru katanya beliau akan melawan rasuah bersungguh-sungguh, selain berpendapat orang Melayu tidak sepatutnya terlibat dalam kegiatan sebegitu.

"Saya percaya saya akan melawan rasuah dengan sedaya upaya bagi memastikan Bersatu bangkit sebagai parti yang melawan perasuah.

"Orang Melayu tidak sepatutnya mendampingi sesiapa yang terbabit dengan kegiatan rasuah.

"Apalah gunanya mendapat kuasa sementara tetapi prinsip moral kita tercemar selamanya?" katanya.

Sentiasa utamakan integriti

Syed Saddiq, 27, adalah ahli politik muda yang muncul ketika Dr Mahathir Mohamad serta sekumpulan bekas pemimpin Umno bangkit melawan Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Dalam PRU ke-14 lalu Syed Saddiq bertanding di kerusi parlimen Muar dan mengalahkan calon BN yang lebih berpengalaman, Razali Ibrahim.

Bagaimanapun dalam krisis dalaman Bersatu, Syed Saddiq memilih untuk berpihak kepada Mahathir berbanding Muhyiddin Yassin seperti yang dilakukan sebahagian besar ahli parlimen Bersatu.

Antara alasan Mahathir enggan menyertai langkah Muhyiddin ialah kerana perdana menteri kelapan Malaysia itu bersedia bekerjasama dengan Umno secara en bloc.

Beberapa pemimpin kanan Umno kini sedang dibicarakan di mahkamah atas pelbagai tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah. Antaranya presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas setiausaha agungnya, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Syed Saddiq lagi beliau akan terus bersuara dalam isu berkaitan integriti mengikut apa yang diyakininya.

"Alasan utama saya menyertai politik ialah untuk menolak rasuah," katanya.

Beliau juga berharap golongan muda di negara ini juga perlu sentiasa mengutamakan integriti berbanding opportunity (peluang).

"Setiap orang akan diuji dengan pelbagai peluang yang akan mencabar hati serta integriti.

"Saya berharap sebagai rakyat Malaysia, kita akan sentiasa memilih untuk berada di landasan integriti berbanding opportunity," katanya.

Turut mengakhiri tugas hari ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS