PH memiliki peluang untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 tetapi tidak melaksanakannya, kata bekas presiden Majlis Peguam K Ragunath.
"Kami telah berterusan (menggesa penghapusan Akta Hasutan) sepanjang sepuluh tahun ini.
"Sama ada PH atau Perikatan Nasional, mereka tetap sama.
"Mereka (PH) ada peluang untuk menghapusnya tetapi tak berbuat demikian," katanya.
Ragunath mendakwa peguam negara dan menteri yang bertanggungjawab ketika pentadbiran PH tidak berbuat apa-apa, sebaliknya menjustifikasikan penggunaan akta tersebut.
"Tanpa mengira pertukaran kerajaan, isunya kekal sama, (soal) kebebasan bersuara telah kembali ke petak pertama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar ibu pajabat Polis di Bukit Aman.
Ragunath mewakili aktivis Fadiah Nadwa Fikri yang dipanggil polis berhubung himpunan di Dataran Merdeka pada malam Sabtu lalu, di saat kemelut politik negara sedang berlangsung.
Penghapusan Akta Hasutan termasuk dalam manifesto PRU14 PH.
Pada Julai tahun lalu, bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin, kini perdana menteri, berkata kerajaan dalam proses "menyemak" undang-undan tersebut tetapi belum membuat sebarang keputusan.
Bagaimanapun perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad kemudian menegaskan kerajaan akan tetap menghapuskan akta itu dan menggantikannya dengan undang-undang baru.
Ketika pentadbiran PH, akta itu digunakan untuk menyiasat penganjur perarakan Hari Wanita dan penceramah Wan Ji Wan Hussin.