Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan PH Negeri Sembilan tak akan tumbang - MB
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Susulan tumbangnya kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb lepas dan disusuli jajaran politik baharu di peringkat kerajaan negeri di beberapa buah negeri seperti Johor, Perak dan Melaka, kerajaan PH Negeri Sembilan yakin tidak goyah.

Menurut Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun, kerajaan yang dibentuk selepas diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, amat mengharapkan kesetiaan dalam kalangan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap pakatan itu.

“Saya yakin PH di Negeri Sembilan tidak akan tumbang, seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang lain.

“Saya masih yakin 100 peratus dengan rakan-rakan yang punyai integriti yang tinggi dan semangat setia kawan yang baik,” kata Menteri Besar kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir di Port Dickson, hari ini.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan ketika ini komposisi di DUN ialah 20 kerusi dikuasai PH manakala baki 16 kerusi dimiliki Barisan Nasional (BN).

Kesemua 20 kerusi berkenaan merangkumi 11 kerusi milik DAP, PKR (enam) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (tiga) dan baki 16 kerusi adalah milik BN dengan 15 daripadanya dikuasai UMNO manakala MIC, satu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS