Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Ulama PAS seru Dr M sokong ‘anak didik’ sendiri
Diterbitkan:  Mar 3, 2020 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Dewan Ulama PAS (DUPP) menyeru rakyat Malaysia bertenang serta memberikan sokongan kepada perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin untuk “memulihkan segala kerosakan”.

Ketua penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata seruan itu ditujukan termasuk kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Dukungan dan sokongan semua pihak amat diharapkan bagi memastikan kerajaan baru yang bakal dibentuk adalah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas.

"DUPP juga dengan berbesar hati mempelawa Tun Mahathir untuk turut sama memberikan sokongan padu kepada Muhyiddin Yassin yang merupakan anak didik beliau juga sewaktu berada di dalam Umno dan juga Bersatu," katanya di Facebook.

Muhyiddin mengangkat sumpah semalam sebagai perdana menteri kelapan hasil sokongan anggota parlimen Bersatu, BN dan PAS yang digelar sebagai Perikatan Nasional.

Beliau juga menerima sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mahathir bagaimanapun menyalahkan Muhyiddin kerana mencetuskan ketidakstabilan politik sejak minggu lalu, dengan mendakwa presiden Bersatu itu mempergunakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mencetuskan krisis berkenaan.

Muhyiddin sebaliknya berkata pada peringkat awal, beliau dan semua anggota parlimen Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, Mahathir gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada anggota Dewan Rakyat.

DUPP bagaimanapun memuji Mahathir, terutamanya dalam pemberian royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

"Sekalipun beliau ada silapnya namun kebaikan yang ada tidak boleh kita sembunyikan dan menafikannya.

“Malah kita dapat lihat beliau cuba berusaha memperbaiki beberapa kesilapannya terdahulu seperti pemberian royalti dan wang ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS.

“Sekalipun tidak sempurna namun ia boleh dilihat dari sudut kebaikan yang wajar diberikan pujian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS