Paling Popular
Terkini

Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada Malaysia.

Perdana menteri merakamkan penghargaan itu semasa menyampaikan ucapan sulungnya bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam tadi.

Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, mengasaskan parti itu pada 2016 bersama-sama Dr Mahathir sebagai pengerusi.

Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ketujuh setelah menerajui PH yang ketika itu merangkumi Bersatu, PKR, DAP dan Amanah memenangi PRU ke-14 pada Mei 2018.

Namun Dr Mahathir meletakkan jawatan utama kerajaan pada 24 Feb sebelum dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari yang sama.

Berikutan krisis kepimpinan negara yang berlanjutan hampir seminggu itu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara Ahad lalu.

Sepanjang hampir 22 bulan menerajui kepimpinan negara, Dr Mahathir dan barisan menterinya termasuk Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri, antara lain memperkenalkan dasar-dasar baru termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Semasa menyandang jawatan barunya itu, Muhyiddin berjanji kerajaan pimpinan beliau akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan WKB 2030.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS