Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tak mahu minta jawatan dalam kerajaan Kelantan

Umno Kelantan menegaskan bahawa parti itu tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir PAS walaupun kini mereka dalam satu gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusi Umno negeri, Ahmad Jazlan Yaakub, turut menegaskan supaya ahli parti tidak membincangkan perkara berkaitan jawatan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, perkara yang lebih penting buat masa ini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan bukan mengejar jawatan.

"Kita kini sudah menjadi suara kerajaan dan saya harap pengalaman yang ada sebelum ini dapat digabungkan dan hasilnya dapat dirasai oleh rakyat.

"Yang penting bukan jawatan yang jadi satu perkara menghalang kita berkhidmat kepada rakyat. Suara kita adalah suara kerajaan dan pengalaman yang ada pada Umno dan PAS dapat kita gabung dan rakyat dapat limpahan nikmat," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi semasa berkait kerjasama Umno dan kerajaan Kelantan selepas kedua-dua parti itu kini berada dalam gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan.

Sementara itu Ahmad Jazlan yang juga anggota parlimen Machang berkata, pihaknya akan menjadi 'tulang belakang' kepada kerajaan Kelantan bagi membuktikan ia adalah pilihan tepat kepada PAS untuk bergabung dengan parti itu menerusi Muafakat Nasional.

"Kita nak lihat taraf hidup dan kehidupan rakyat di Kelantan berubah walaupun keperluan itu mungkin mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Ia akan menjadi limpahan nikmat kepada rakyat di negeri ini selepas PAS bersama-sama dalam Perikatan Nasional membentuk kerajaan persekutuan yang baru

"Kerajaan negeri kini tidak ada pembangkang, rakyat Kelantan tak perlu risau soal ini. Wakil-wakil rakyat semua parti akan main peranan untuk mengimbangi kepimpinan negeri dan berperanan untuk menegur dalam hal-hal melibatkan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS