mk-logo
Berita
'Mahathir patut hargai sikap tanggungjawab Muhyiddin'
Diterbitkan:  Mar 2, 2020 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Sehari selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin hari ini mempertahankan tindakan presiden Bersatu itu, pada saat negara dilanda dengan kemelut politik yang berlarutan selama seminggu.

Menurut Khaled, Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menghargai sikap tanggungjawab Muhyiddin apabila beliau secara tiba-tiba melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

“Kepimpinan parti sangat terkejut dan terkapai-kapai mencari arah. Tetapi Tan Sri Muhyiddin memastikan Bersatu tidak berantakan dan kekal berpadu ketika negara berhadapan dengan krisis politik ekoran tindakan Tun Mahathir melepaskan pelbagai jawatannya.

“Maka kerana itulah, Umno dan PAS mengambil keputusan menyokong beliau untuk memimpin negara ini walaupun Umno dan PAS mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar dari Bersatu.

“Memanglah lumrah kepada Tun Mahathir, bahawa semua orang harus dipersalahkan kecuali dirinya sendiri, tetapi kali ini, beliau benar-benar telah tewas tanpa dijangka di tangan Tan Sri Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir berkata, beliau berasa Muhyiddin lebih banyak mengkhianatinya sehingga membawa kepada jatuhnya Pakatan Harapan dan Umno kembali menjadi kerajaan melalui kem bekas menteri dalam negeri itu.

Pemimpin berusia 94 tahun itu juga mengajak anggota bersatu untuk membuat pendirian menolak kumpulan yang dilabelnya sebagai mengkhianati Bersatu.

Khaled juga merayu supaya Mahathir membenarkan Muhyiddin menerajui negara sambil menasihatkan perdana menteri keempat dan ketujuh itu supaya berehat dari politik.

“Negara akan selamanya berterima kasih kepada Tun Mahathir. Segala jasa akan kami kenang dan segala bakti akan kami ingati seabadinya.

“Berikanlah juga ruang untuk kerjasama politik terbaru ini membuktikan keupayaan mereka mengurus negara ini.

“Saya yakin, jalan ke hadapan yang bakal dinakhodai Tan Sri Muhyiddin pasti berliku. Ia tidak akan mudah dan pasti banyak geloranya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS