Bekas Timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas Tian Chua petang tadi dan mendakwa ia mencerminkan budaya samseng membayangi parti tersebut.
Tambah Azmin, gejala seperti itu telah “merampas” tujuan asal PKR ditubuhkan dulu, iaitu antara lain bagi membela rakyat.
“Serangan terhadap naib presiden PKR semata-mata kerana perbezaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti tersebut telah diseludupi budaya gengsterisme dan keganasan.
“Gejala ini menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat telah di-hijack oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Petang tadi, sekumpulan orang dipercayai anggota atau penyokong PKR mengasari beberapa pimpinan parti yang selama ini dilihat bersekutu dengan Azmin dalam parti tersebut.
Tian Chua adalah antaranya. Bekas ahli parlimen Batu itu dipukul pada kepalanya selain dilempar dengan botol air di depan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum pengawal bertindak mengawal keadaan.
Mereka turut melaungkan kecaman seperti "Pengkhianat! Pengkhianat! Pengkhianat" setiap kali melihat ada pemimpin yang bersekutu dengan Azmin lalu.
Untuk rekod Azmin sudah dipecat daripada PKR pada minggu lalu kerana didakwa berpakat dengan beberapa pihak dalam Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan PH.
Beliau juga disebut-sebut antara nama pilihan untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Tian Chua - yang dikenali antara watak penting dalam gerakan Reformasi - menganggap serangan ke atasny adalah perkara kecil dan menekankan bahawa dia masih setia kepada PKR.
Sementara itu, Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak menyeru semua pihak menolak budaya keganasan sebaliknya memilik kaedah perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah.
“Saya menyeru semua pihak untuk menolak budaya gangsterisme dan keganasan dalam politik, sebaliknya kita perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional dan berunding untuk menyelesaikan masalah,” katanya lagi.