Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantu siasatan hina Agong, polis tahan pemilik akaun Facebook
Diterbitkan:  Mar 1, 2020 7:06 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Seorang lelaki dipercayai pemilik akaun Facebook bernama 'Aaron Yee' ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran Facebook berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata polis dalam proses memohon perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan siasatan yang dijalankan hari ini berhubung satu hantaran yang dimuat naik menggunakan akaun Facebook ‘Aaron Yee’.

"Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM 1998) iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata polis turut menyiasat dua lagi hantaran yang didapati berunsur penghinaan terhadap Agong, masing-masing dimuat naik di Facebook dan Twitter.

Seorang lagi yang disiasat ialah pemilik akaun twitter @FadiahNadwa atas hantaran berunsur hasutan, kata Huzir.

"Beliau didapati dengan sengaja memuat naik kenyataan berunsur hasutan yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya lagi.

Beliau berkata semua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKMM 1998 dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

"Bagi menjamin ketenteraman awam dan keharmonian, polis menggesa orang ramai agar mendokong prinsip rukun negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

"Janganlah menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya sambil menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas bagi membawa mereka yang melakukan kesalahan itu ke muka pengadilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS