Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hati saya mula merasa berat... sangat berat'
Diterbitkan:  Mar 1, 2020 12:36 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maslzee Malik, sebentar tadi tampil menjelaskan keadaan mengapa beliau dilihat seperti berubah-ubah pendiriannya dan dipercayai membuat pusingan U beberapa kali.

Menjelaskan keadaan dihadapinya melalui media sosial, bekas menteri pendidikan itu berkata, pada asalnya beliau ingin mentaati disiplin parti dan - sesuai dengan kedudukannya sebagai ahli parlimen Bersatu - mahu bersama-sama dengan presiden parti.

Pada masa sama, katanya, beliau mahu teguh bersama Bersatu di sebalik banyak teguran yang diterima daripada pemimpin parti kerana gagal menjadi team player.

"Saya tidak pandai berpolitik," ciapnya.

Bagaimanapun ada sesuatu yang membuat Maszlee berubah fikiran kemudiannya.

Kata bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa itu, beliau mula rasa keberatan bersama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, apabila berada bersama dengan pemimpin Umno.

"Setelah duduk bersama dengan para pemimpin Umno yang turut hadir dan akan membentuk kerajaan bersama yang baru, hati saya mula merasa berat. Sangat berat.

"Ada di antara mereka yang masih diselaputi isu-isu rasuah dan penyelewengan termasuk di Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, yang dahulunya puas saya berusaha membersihkan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.

Saya bertanya kepada diri sendiri: Apakah saya bersedia untuk menerima semula mereka?" ciapnya yang sebelum ini dikenali sebagai pengkritik kerajaan yang lantang di bawah pentadbiran Najib Razak dulu.

Untuk rekod Maszlee adalah antara ahli parlimen yang dilihat menyokong Muhyiddin dalam krisis kepemimpinan negara ekoran tindakan Bersatu menarik diri daripada PH.

Biar putih tulang jangan putih mata

Bagaimanapun Maszlee kemudian hadir bersama Dr Mahathir Mohamad kemudiannya dan menyatakan sokongan kepada bekas perdana menteri ketujuh itu.

Mahathir sendiri menganggap Muhyiddin melanggar perlembagaan parti apabila melantik diri sendiri sebagai pengerusi Bersatu. Kata Mahathir, ketika ini beliau masih pengerusi Bersatu yang sah.

Menurut Maszlee beliau sangat keberatan untuk mengangkat pemimpin Umno mentadbir Malaysia selepas parti itu ditolak rakyat melalui PRU ke-14 kira-kira dua tahun lalu.

"[...] dan ada antara mereka yang sedang menghadapi proses pengadilan," katanya.

Menurut Maszlee, apabila keadaan menjadi semakin rumit, beliau terpaksa memilih di antara ketaatan kepada parti dan prinsip.

"Maka saya membuat keputusan yang besar dan penting, iaitu kembali kepada para penyokong, rakan-rakan, keluarga, pengundi dan rakan-rakan seperjuangan," ciapnya.

 Beliau juga mengakui banyak melakukan kesilapan termasuk dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

"Ditendang, disalahfahami, dikecam, dimusuhi kerana isu-isu yang saya sendiri tidak pilih," katanya dipercayai merujuk kepada pelbagai peristiwa yang membawa kepada peletakan jawatannya sebagai menteri.

Namun kata Maszlee, beliau sudah nekad dengan pendirian sekarang dan ia adalah muktamad.

"Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik.

"Demi rakyat, demi negara. Biar putih tulang, jangan putih mata. Membujur lalu melintang patah. Terus berjuang dan kekal berprinsip.

"Dari rakyat kita datang, kepada rakyat kita kembali," ciap beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS