LANGSUNG | Apakah pergolakan politik yang berlaku sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan minggu lalu akan menghampiri penghujungnya? Malaysiakini melaporkan perkembangan ini secara langsung.
Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.
LANGSUNG
9 malam: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengarahkan Anggota Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad.
Masir adalah anggota parlimen tunggal daripada parti itu.
Arahan itu sehari selepas Masir dalam satu rakaman video menafikan dia menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.
"Majlis Presiden telah memutuskan bahawa kenyataan video oleh Masir Kujat, anggota parlimen Sri Aman, ditarik balik.
"PSB akan menyokong Mahathir dan PH sejajar dengan kehendak rakyat dalam PRU14. Kami percaya tindakan ini betul dan bermoral.
"Sebagai anggota majlis presiden, Masir telah bersetuju dengan keputusan ini," kata parti itu.
PSB juga berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat perlu diuji ketika sidang dijadual bermula pada 9 Mac.
Muhyiddin mengetuai kerajaan Perikatan Nasional dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pagi tadi, setelah seminggu kemelut politik yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.
PBS berkata lagi, walaupun ia tidak semestinya setuju dengan PH dan tetap akan melawannya dalam pilihan raya negeri nanti, mandat rakyat dalam PRU lalu perlu dihormati.
8.45 malam: Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap Muhyiddin Yassin diberi ruang untuk menguruskan negara sebagai perdana menteri yang baru, setelah "tempoh krisis yang meresahkan rakyat."
Katanya, tidak wajar menentang pemerintahan baru yang belum melakukan apa-apa kesalahan dalam urus tadbirnya.
"Pandanglah masa depan. Jika beliau berbuat zalim maka kita akan berperanan membantah kezaliman. Jika tidak, kewajipan kita mentaati dan menyokong usaha beliau," katanya di Facebook hari ini.
Beliau berharap Muhyiddin akan melantik anggota kabinet yang berwibawa dan tidak terpalit dengan kesalahan korupsi dan salah guna kuasa.
"Jauhi kepimpinan negara daripada anggota yang tercemar dengan rasuah dan salah guna kuasa," katanya lagi.
8.30 malam: Di tengah-tengah pertikaian sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti anggota parlimen, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan mencadangkan sidang Parlimen khas diadakan untuk mengesahkan sokongan terhadapnya.
"Saya ingin menggesa perdana menteri memanggil sidang Parlimen tergempar minggu ini untuk menyelesaikan isu ini secara memuaskan.
"(Sidang ini) bukan saja untuk kepentingannya, tetapi ia untuk kepentingan negara," katanya.
Menurut Ambiga, Aturan Mesyuara 11(3) menyatakan sidang khas boleh diadakan untuk kepentingan awam.
"Di saat ketidaktentuan, penting untuk perdana menteri menguji majoriti yang dimilikinya di Parlimen dengan memanggil satu sidang khas," katanya.
Semalam, PH menunjukkan senarai 114 anggota parlimen yang dikatakan menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Majoriti mudah di Parlimen adalah 112.
Bagaimanapun sejak itu sekurang-kurangnya empat anggota parlimen telah menarik balik sokongan atau pun menafikannya, menjadikan jumlah anggota parlimen yang menyokong Dr Mahathir kepada 110 orang.
Mahathir juga menyuarakan kebimbangan bahawa dengan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri, lebih ramai yang akan ditarik untuk menukar sokongan.
8.20 malam: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur - Himpunan "Selamatkan Malaysia" berakhir dengan aman.
Penganjurnya berkata himpunan itu akan terus diadakan pada masa akan datang.
"Ia akan berlaku secara organik memandangkan rakyat tidak gembira dengan cara kerajaan baru dibentuk," kata jurucakap Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia Amir Abdul Hadi.
Dia turut menyuarakan penghargaan kepada polis kerana memudahkan program itu.
Polis membenarkan para peserta berarak ke Dataran Merdeka dari kompleks membeli-belah Sogo, dengan syarat mereka tidak boleh mengangkat sepanduk dan hanya menggunakan kaki lima.
8 malam: Balik Pulau, Pulau Pinang - Anggota jawatankuasa PKR Balik Pulau John Ooh membuat laporan polis terhadap individu yang menyerang naib presiden Tian Chua.
Ooh berkata dia membuat keputusan untuk berbuat demikian selepas menyaksikan insiden di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
"Selepas perbincangan dengan anggota jawatankuas lain, kami setuju untuk membuat laporan polis. Kami membantah sebarang bentuk serangan fizikal," katanya.
Dia menggesa kepimpinan parti untuk melihat insiden itu secara serius kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Tian Chua adalah seorang pemimpin yang baik dan rekodnya menunjukkan dia sentiasa setiasa kepada perjuangan parti, kata Ooh.
7.45 malam: Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan kenyataan untuk menafikan satu gambar yang mendakwa esok diisytiharkan sebagai cuti umum.
Ia selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pagi ini.
"JPM dengan ini menegaskan bahawa berita yang sedang tular berkaitan pengisytiharan cuti umum pada hari Isnin, 2 Mac 2020 sempena pelantikan perdana menteri kelapan merupakan berita palsu dan semua pihak diminta berhenti menyebarkannya serta-merta," katanya lagi.
6.10 petang: Sogo, Kuala Lumpur - Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia tetap meneruskan protes terhadap penubuhan kerajaan baru, walaupun dengan amaran polis.
Lebih 100 hadirin berhimpun di depan pintu masuk pusat membeli-belah Sogo dan melaungkan "tolak pengkhianat, tolak perkauman" dan "hidup rakyat".
Mereka juga membawa sepanduk yang memaparkan "#NoMyPM", "kita lawan" and "tegakkan demokrasi".
Bekas pengerusi Bersih S Ambiga dan bekas timbalan ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil turut menyertai protes itu.
Jurucakap protes Amir Abd Hadi mengkritik polis kerana menyiasat aktivis Fadiah Nadwa Fikri mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menganjurkan himpunan aman di Dataran Merdeka semalam.
Dia berkata ada pihak yang cuba menggambarkan mereka menentang keputusan Yang di-Pertuan Agong yang melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Amir berkata orang ramai membantah pembentukan kerajaan yang disifatkan menerusi "pintu belakang" itu, bukannya Agong.
Lebih 30 anggota polis ada di protes tersebut.
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanthan memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyertai protes tersebut.
6 petang: Dalam satu pertemuan tertutup, Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim susulan kegagalannya menubuhkan kerajaan baru.
Menurut Mahathir, Muhyiddin sengaja mencari alasan untuk mewujudkan krisis politik agar dilantik sebagai perdana menteri.
Beliau berkata Muhyiddin memperalatkan Anwar - dalam soal peralihan kuasa - untuk mewujudkan krisis politik dalam PH.
Berkenaan Anwar pula, bekas perdana menteri itu berkata anggota parlimen Port DIckson itu tidak sepatutnya dinamakan PH sebagai perdana menteri walau tiada sokongan majoriti.
"Saya sangat sedih kalah, kerana dia (Anwar) dapat sokongan PH untuk dicalonkan (sebagai perdana menteri). Dia mempunyai 92 (sokongan ahli parlimen). Saya mempunyai 60 atau lebih, kami boleh memperoleh majoriti," katanya.
Baca berita penuh di sini.
6 petang: Ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur - PAS kini sebahagian daripada parti pemerintah dan presidennya Abdul Hadi Awang hari ini menggariskan visinya.
"PAS mengharapkan kerajaan persekutuan mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip federalisme dengan negeri-negeri.
"PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya dalam kenyataan.
6 petang: Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pasrah jika parti itu akan mengambil tindakan disiplin ke atasnya.
Ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang ini, Syed Saddiq berkata, beliau memasuki politik dengan matlamat mahu menentang pemimpin yang terlibat dengan rasuah.
Ahli parlimen Muar itu juga menegaskan beliau tidak setuju Bersatu bekerjasama dengan Umno secara en bloc terutama ketika ia adalah parti yang terbesar dalam kerajaan.
"Apabila saya menyatakan pendirian ini - kerana saya tak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah - dan tindakan (mahu) diambil ke atas saya, biarlah... kerana saya percaya dan berpegang kepada prinsip berani kerana benar," katanya.
4.50 petang: Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun, menganggap kemelut dalaman yang dihadapi Bersatu kini adalah perkara biasa dalam sesebuah "keluarga".
Bagaimanapun ahli parlimen Titiwangsa itu mengakui beliau berasa sedih dengan apa yang berlaku.
"Kita ini satu keluarga. Janganlah buat macam tu, saya sedih. Kita ini satu keluarga. Biasalah kadang-kadang lidah tergigit, carik-carik bulu ayam, kita akan selesaikan masalah dalaman ini dengan baik," katanya ketika ditanya tentang pendiriannya sebelum ini yang menyokong Dr Mahathir Mohamad.
Beliau ditanya demikian ketika keluar dari rumah perdana menteri yang juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.
Katanya, ahli Bersatu masih lagi menghormati Mahathir setelah segala pengalaman dan ilmu yang diturunkan pegerusi Bersatu itu, dan meminta tiada pihak melaga-lagakan mereka.
"Kita masih menghormati dia, tiada isu. Tolong jangan (jadikan isu).
Tambah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu juga, perbincangan dengan Muhyiddin tidak ada melibatkan soal portfolio baru.
4.47 petang: Kenderaan dinaiki Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, memasuk bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Beliau yang memandu sendiri kereta itu disambut beberapa ahli pimpinan Armada Bersatu yang kemudian melaungkan “Hidup Tun”.
Sebelum itu, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee tiba di situ.
Kehadiran barisan tertinggi pimpinan parti di yayasan itu dipercayai diadakan bagi pertemuan bersama ahli Armada dan Bersatu bahagian.
4.25 petang: Bekas ahli parlimen PKR, Tian Chua menolak dakwaan serangan terhadapnya oleh beberapa penyokong parti kerana marah pada mereka yang pernah bersekutu dengan bekas Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, beliau berkata ia adalah "perkara kecil".
"Ia adalah satu perkara kecil. Saya faham kemarahan kumpulan kecil ini.
"Apa pun, kita bermula sekali lagi. Dan ini bukan mengenai mana-mana individu tetapi mengenai parti kita.
"Saya setia kepada PKR," beliau dilaporkan sebagai berkata.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengecam serangan ke atas Tian.
"Saya kesal dan mengecam tindakan kasar beberapa individu terhadap Tian Chua.
"Saya pohon pihak berkuasa bertindak segera terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang.
"Pada masa sama, saya pohon Lembaga Disiplin PKR segera siasat. Jika mereka anggota parti, maka tindakan tegas perlu diambil," katanya di Twitter.
Ahli PKR tampar Tian Chua ditahan polis
4.10 petang: Ahli PKR yang menampar Naib Presiden PKR, Tian Chua selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal (gambar) berkata, lelaki berusia 32 tahun itu adalah ahli Cabang PKR Gombak ditahan sejurus kejadian.
"Setakat ini polis masih belum menerima laporan dari Tian Chua berhubung kejadian.
"Bagaimanapun, anggota polis di lokasi kejadian menahan suspek untuk siasatan lanjut dan kini ditahan di Balai Polis Petaling Jaya," katanya dipetik portal Harian Metro.
Muhyiddin boleh tangguh sidang, tawar jawatan - Kadir
3.30 petang: Wartawan veteran, A Kadir Jasin membayangkan Pakatan Harapan berdepan jalan sukar bagi membolehkan Dr Mahathir Mohamad dan gabungan itu mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri baru Muhyiddin Yassin berhak mengarahkan sidang dewan ditunda ke tarikh yang lain.
"Beliau boleh menggunakan kuasa eksekutif yang ada di tangannya untuk menarik sokongan daripada faction Dr Mahathir dengan menawarkan mereka jawatan dan kedudukan," katanya.
Namun katanya, walaupun gagal menubuhkan kerajaan, PH masih mempunyai bilangan ahli yang besar dalam Dewan Rakyat.
"Kekuatan ini boleh digunakan untuk mengawal kuasa kerajaan, khususnya dalam memerangi rasuah dan membicarakan para pemimpin Umno yang melakukan rasuah serta jenayah-jenayah berat lain," katanya.
Ulasan penuh Kadir boleh dibaca di sini.
Speaker akan hubungi PM berhubung tarikh sidang Dewan Rakyat
3:30 petang: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof akan berbincang dengan Muhyiddin Yassin berhubung sesi parlimen akan datang yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac.
Katanya, beliau akan menulis surat rasmi kepada perdana menteri baru itu esok.
"Esok saya akan tulis minta maklumat lanjut bila kita akan bersidang. Saya akan tulis kepada perdana menteri sebelum buat keputusan.
"Tunggulah, saya pun tidak tahu kerana saya tidak memutuskan tarikh sidang Dewan Rakyat," katanya dipetik Bernama selepas menghadiri majlis angkat sumpah Muhyiddin sebagai perdana menteri di Istana Negara hari ini.
Fahmi gesa tindakan diambil terhadap individu serang Tian
3.15 petang: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata beliau kesal dan mengecam tindakan penyokong PKR menyerang naib presidennya, Tian Chua.
."Saya pohon pihak berkuasa bertindak segera terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang.
"Pada masa yan sama, saya pohon Lembaga Disiplin segera siasat - jika mereka anggota parti, maka tindakan tegas perlu diambil," katanya di Twitter.
Ini bukan tentang saya, kata peguam lepas disiasat polis
3 petang: Aktivis Fadiah Nadwa Fikri, yang disiasat oleh polis kerana terlibat dalam demonstrasi aman di Dataran Merdeka malam tadi, berkata beliau telah dipanggil ke Bukit Aman pada jam 11 pagi tadi.
Fadiah berkata beliau sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Rakyat Malaysia sudah menyatakan kebimbangan, rasa hiba, kemarahan dan kekecewaan dengan komplot dan perebutan kuasa oleh ahli-ahli politik.
"Pihak polis, bagaimanapun, menyatakan bahawa saya dikenal pasti sebagai dalang yang terlibat dalam menganjurkan perhimpunan pada Sabtu, 29 Februari di Dataran Merdeka (di kawasan perhimpunan sama pada Selasa, 25 Februari).
"Semua ini bukan semata-mata tentang diri saya dan mana-mana individu. Seperti perhimpunan semalam, kita punya kekuatan dalam bersetiakawan. Berdekad lamanya kita melawan penguasa yang cuba untuk membahagi dan mendiamkan suara dalam menafikan hak kita," kata Fadiah dalam kenyataan di Facebook.
PKR akan buat laporan polis terhadap Muhyiddin
3.10 petang: Pemimpin PKR, Johari Abdul memberitahu penyokong parti dan petugas media, bahawa parti itu akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Muhyiddin didakwa berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong apabila mengatakan bahawa beliau (Muhyiddin) mempunyai sokongan majoriti angota parlimen.
Di samping itu, Johari juga memberitahu penyokong untuk bersedia menghadapi pilihan raya mengejut jika Muhyiddin terbukti tidak mempunyai sokongan majoriti.
Ahmad Faizal akan mengadap Sultan Perak
2.30 petang: Bukit Damansara, Kuala Lumpur - Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata beliau akan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bagi membincangkan tentang kedudukan kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian semasa dilihat berjalan keluar dari rumah Muhyiddin Yassin.
Ketika disoal pemberita tentang sama ada barisan kepimpinan kerajaan negeri Perak sudah ditentukan atau pun belum, beliau hanya menjawab "Dah kot".
Bagaimana, apabila disoal pemberita, Faizal meminta agar rakyat mendoakan beliau kekal sebagai menteri besar.
"Doakanlah saya kekal," katanya.
Selain itu, beliau turut meminta rakyat memberi sokongan kepada perdana menteri baru dan kabinet yang akan ditubuhkan nanti.
Polis kawal ibu pejabat PKR
2.30 petang: Sepasukan anggota polis yang berpakaian seragam mula mengawal pintu masuk utama ibu pejabat PKR ketika ketegangan meningkat di kalangan penyokong PKR dengan beberapa pemimpin parti yang pernah dikaitkan menyokong bekas timbalan presidennya, Azmin Ali.
Beberapa pemimpin diserang awal petang ini oleh para penyokong terbabit dan digelar sebagai pengkhianat.
Pada masa ini, sekumpulan anggota PKR masih menunggu di depan pintu masuk, memaksa ketua wanita PKR Haniza Talhah dan timbalannya Daroyah Alwi untuk keluar dan melihat mereka.
Haniza dan Daroyah dikenali sebagai pengikut kuat Azmin ketika beliau menjadi orang nombor dua dalam parti itu.
Hanya salah faham, kata Anwar
2.15 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata serangan yang dilakukan penyokong PKR terhadap pemimpin parti yang pernah menyokong bekas timbalan presidennya Azmin Ali adalah merupakan salah faham.
Beliau memberitahu pemberita di luar ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya bahawa walaupun para pemimpin itu pernah menjadi pendukung Azmin, ia merupakan perkara yang sudah berlalu dan Azmin sebelum ini merupakan pemimpin parti berkenaan.
Keadaan kecoh di ibu pejabat PKR
2.10 petang: Keadaan kecoh terus berlaku di depan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya. Kali ini naib presiden parti itu, Tian Chua, diserang beberapa penyokong parti.
Kejadian berlaku ketika dia diiringi dari pintu bangunan ke kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia kemudian dikelilingi kira-kira 30 orang itu.
Ketika berada di pintu kereta Tian kelihatan sangat berang dan keadaan tegang di antara dia dan seorang penyokong.
Seseorang yang tidak dapat dikenali kemudian membaling botol plastik ke arahnya.
Ketika beberapa orang pengiring Tian cuba menenangkan orang ramai, seorang lelaki memukul belakang kepala bekas ahli parlimen Batu itu.
Seorang lelaki lain mula menghentak-hentak bumbung kereta.
Tian kemudian dibawa masuk ke kereta dan beredar dari situ.
1.35 petang: Sekumpulan ahli dan penyokong PKR menyerang Exco Pulau Pinang PKR, Dr Afif Bahardin, dan pengikutnya di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Afif - yang diketahui bersekutu dengan Azmin Ali - diserang ketika dia keluar dari bangunan berkenaan.
Pada masa sama pimpinan pusat PKR sedang mengadakan pertemuan di situ.
Sebaik sahaja mereka keluar dari pintu masuk ke bangunan itu, kira-kira 20 penyokong PKR mula melaungkan "pengkhianat".
Turut menjadi sasaran kemarahan mereka ialah kenderaan dipercayai dinaiki Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Bagaimanapun Afif dan Amirudin sehingga kini kekal sebagai anggota PKR.
Muhyiddin mulakan hari pertama esok
1.09 tengah hari: Perdana menteri yang baru dilantik, Muhyiddin Yassin akan memulakan tugas pada hari pertamanya esok.
Pejabat Perdana Menteri dalam jemputan yang dikeluarkan kepada media, berkata Muhyiddin dijadual memasuki pejabatnya di Putrajaya pada jam 8 pagi esok.
Polis beri amaran jangan berhimpun petang ini
12.50 tengah hari: Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanthan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan yang dirancang diadakan di ibu kota lewat petang ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata tiada notis diberikan untuk mengadakan perhimpunan jam 6 petang itu, yang dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia.
"Justeru, orang ramai diberi amaran agar tidak berkumpul di hadapan Sogo pada petang ini untuk berdemonstrasi.
Beliau menambah polis akan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurut Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia, keadaan politik semasa "tidak menguntungkan sesiapa, terutamanya rakyat Malaysia" terutamanya kerana ia bertentangan dengan mandat diberikan rakyat pada PRU-14.
"Oleh itu, selepas berunding dengan rakan-rakan pertubuhan masyarakat sivil, kami secara kolektif bersetuju untuk mengadakan demonstrasi."
Muhriz, Syed Saddiq mungkin berdepan tindakan disiplin
12.45 tengah hari: Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemungkinan berdepan jawatankuasa disiplin Bersatu, kata ahli majlis tertingginya Mohd Redzuan Md Yusof seperti dilapor The Star Online.
Redzuan berkata parti itu mempunyai peraturan dan akan mengikut proses yang sewajarnya.
"Bagi Syed Saddiq, nampaknya kedudukannya akan dikosongkan.
"Bagi jawatan ketua pemuda, ia dipilih melalui pemilihan parti tetapi dia (Syed Saddiq) masih boleh melakukan tugas itu atas arahan presiden.
"Sebelum pemilihan parti, semua jawatan berdasarkan pelantikan presiden," katanya semasa sidang akhbar di luar kediaman Muhyiddin.
PH akan buat undi tak percaya pada Muhyiddin - Anwar
12.31 tengah hari: Portal Malaysia Gazette melaporkan Pakatan Harapan (PH) akan membuat undi tidak percaya kepada perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah diputuskan oleh gabungan tersebut, namun terpulang kepada Dewan Rakyat menentukan tarikh.
“Kita sudah buat keputusan, (akan buat undi tidak percaya) sesegera mungkin. Sama ada 9 Mac ini terserah kepada parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu tiba di kediamannya hari ini.
IGP rakam ucapan tahniah pada Muhyiddin
12.30 tengah hari: PDRM merakamkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai perdana menteri Malaysia yang baru.
"PDRM kekal komited memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulataan undang-undang, demi kesejahteraan masyarakat serta negara di bawah kepimpinan Yang amat berhormat Tan Sri," kata ketua polis negara, Abdul Hamid Bador.
Muhyiddin beredar dari Istana Negara
12.08 tengah hari, pintu 1 Istana Negara: Perdana menteri Malaysia yang baru, Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara dalam rombongan lima kenderaan melalui pintu 1, setelah lebih dua jam.
Beliau yang baru sudah mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi, kini sah dilantik perdana menteri kelapan.
Menaiki Proton Perdana hitam bersama isterinya, anggota Parlimen Pagoh itu menurunkan tingkap keretanya sambil melambai-lambai ke arah petugas media dan polis di pekarangan pagar istana.
Turut dilihat mengiringinya beberapa lagi kenderaan selain polis pengiring.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan Speaker Dewan Negara, SA Vigneswaran meninggalkan Istana Negara.
Keadaan di luar pintu 2, Istana Negara tenang. Polis sedang bersiap sedia dan mereka ditempatkan di jalan-jalan berdekatan menuju ke istana.
Petugas media sabar menunggu tetamu lain termasuk anggota parlimen keluar dari istana.
12 tengah hari: PAS menggesa Pakatan Harapan membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri baru.
Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad mendakwa PH 'membuat onar' dan "flip-flop" hingga menyebabkan krisis berikutan kejatuhan kerajaan PH dan "seolah-olah mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong".
Cuepacs nyatakan sokongan pada PM baru
11.58 pagi: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri yang baru, Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs sentiasa bersama kerajaan untuk terus memajukan negara ini dan seterusnya memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan negara.
"Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti namun perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.
"Ini kerana perkhidmatan awam, merupakan tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara professional," katanya.
Baru Bian jelaskan sokongan pada Dr M
11.40 pagi: Anggota Parlimen Selangau, Baru Bian menjelaskan sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan yang dihantar awal hari ini.
"Bekerja di bawah kabinetnya sejak 21 bulan lalu sebagai menteri kerja raya, saya dapat mencapai banyak tugas yang bertujuan untuk menjadikan Sarawak yang lebih baik.
"Visi kemakmuran bersama beliau telah membuahkan hasil di bawah kepimpinannya, dan saya mendapat sokongannya untuk memulakan beberapa projek utama untuk Sarawak selepas 50 tahun. Ini termasuk Jalan Pautan Sabah Sarawak, Lebuhraya TransBorneo, (usaha memulihkan) sekolah daif, pembaikan hospital dan sebagainya, "kata beliau dalam satu kenyataan.
Muhyiddin selesai angkat sumpah
10:40 pagi - Istana Negara: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang-DiPertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis ringkas.
Selesai mengangkat sumpah, Muhyiddin menerima pelukan dan ucapan tahniah daripada anggota parlimen yang menyokong beliau.
Saya dok main FB saja, kata Najib
10.20 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak menafikan menjadi punca kekecohan politik yang menyaksikan lawannya, Dr Mahathir Mohamad kehilangan kerajaan dan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri yang baru.
Dalam tulisan di Facebook berikutan sidang akhbar oleh Mahathir, anggota parlimen Pekan itu berkata, antara lain, tindakan kerajaan Pakatan Harapan sendiri yang menyebabkan popularitinya merosot sehingga tewas dalam beberapa pilihan raya kecil.
"Saya dok main Facebook tiap hari sahaja," katanya berjenaka.
Mahathir, dalam sidang medianya sebelum itu mendakwa Najib adalah antara mereka yang cuba meyakinkan pemimpin seperti Muhyiddin Yassin bahawa DAP mengawal kerajaan Pakatan Harapan.
"Orang Melayu percaya bahawa DAP yang control government, bukan saya. Kononnya saya bawah telunjuk Guan Eng. Ini tak benar.
"Tapi demikianlah kecekapan Najib sehingga mereka tidak lagi nampak Najib sebagai salah. Mereka bersedia untuk cium tangan Najib. Mereka akui bahawa dia My boss, Bossku. Ini sebelum masalah ni (krisis politik) timbul, "dakwa Mahathir.
9.50 pagi - pintu 1 Istana Negara: Presiden Bersatu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin dilihat memasuki Istana Negara melalui pintu 1.
Beliau yang dilihat menaiki kereta Proton Perdana hitam diiringi kenderaan polis, sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu di pekarangan istana.
Anggota Parlimen Pagoh itu masuk ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.
9.48 pagi - Istana Negara: Rombongan yang terdiri daripada lebih 15 kenderaan anggota parlimen yang menyokong perdana menteri baru, Muhyiddin Yassin tiba di istana.
Lima minit sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof juga tiba di Istana Negara.
Pihak media juga difahamkan salah satu daripada tiga kenderaan yang tiba bersama Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum itu membawa Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
9.26 pagi - Istana Negara: Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim tiba di Pintu 2 Istana Negara. Kereta dinaikinya memasuki pekarangan istana bersama dua buah kenderaan lain di mana salah satu daripadanya menunjukkan lambang Yang Di-Pertua Dewan Negara.
Bagaimanapun, wartawan tidak dapat melihat dengan jelas wajah individu dalam kedua-dua kenderaan berkenaan.
Dr M: Muhyiddin bukan PM yang tepat
9.15 pagi - Yayasan Al Bukhary: Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bukanlah "perdana menteri yang tepat" berdasarkan undang-undang kerana tidak mendapat sokongan majoriti daripada anggota parlimen.
Mahathir menyifatkan keputusan Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan sebagai "pelik" memandangkan bloknya mempunyai sokongan yang lebih besar.
"Agong telah membuat keputusan untuk tidak berjumpa saya lagi tetapi untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri jadi saya tidak mempunyai peluang untuk memberitahu Agong bahawa dia (Muhyiddin) tidak mempunyai majoriti. Itu sahaja. Saya tidak boleh berkomunikasi dengan istana [...] "katanya.
Langkah seterusnya adalah menunggu sidang parlimen untuk mengetahui sokongan anggota parlimen terhadap Muhyiddin.
"Sudah tentu mereka, (blok Muhyiddin) boleh melengahkannya.. tetapi apabila orang itu pergi ke parlimen dan parlimen menolak dia, maka dia tidak boleh menjadi perdana menteri," katanya.
Anwar tiba di Yayasan Al Bukhary
9.07 pagi - Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur: Ketibaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim disambut laungan "reformasi" daripada penyokong.
Terdahulu, Anggota Parlimen Sungai Petani dari PKR, Johari Abdul ditanya sama ada anggota parlimen berkenaan merancang untuk ke Istana Negara.
"Kita akan lihat, kita akan lihat," jawabnya ringkas.
MP sokong Dr M tiba di Yayasan Al Bukhary
8.40 pagi - Yayasan Al Bukhary: Anggota parlimen dilihat tiba di pejabat perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohammad di sini.
Lebih 100 anggota Parlimen, yang sebahagian besarnya terdiri daripada parti komponen Pakatan Harapan - PKR, Amanah dan DAP dijangka berkumpul di Yayasan Al Bukhary hari ini bagi menyatakan sokongan kepada Mahathir.
Senarai itu juga termasuk enam anggota parlimen Bersatu dan anggota parlimen Bebas, Baru Bian (Selangau).
Antara yang dilihat hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Charles Santiago (Klang), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Wong Hon Wai (Bukit Bendera), Kulasegaran (Ipoh Barat) Maria Chin (Petaling Jaya), dan Teresa Kok (Seputeh).
Difahamkan Dr Mahathir tiba lebih awal pada jam 8.08 pagi.
Malam tadi, Mahathir mendakwa mendapat sokongan daripada 115 anggota parlimen, dalam usaha untuk menggagalkan pemilihan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.
Bagaimanapun, beberapa anggota parlimen menafikan menyokong Mahathir.
Muhyiddin dijadual mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan di Istana Negara jam 10.30 pagi ini.
Polis siasat peguam
8.15 pagi: Berita Harian melaporkan polis sedang menyiasat aktivis yang juga seorang peguam, Fadiah Nadwa Fikri.
Ini selepas peguam hak asasi manusia itu dikatakan memuat naik kenyataan yang menyeru orang ramai untuk menghadiri protes bagi membantah "pengkhianatan" yang berlaku dalam pemilihan perdana menteri.
Dalam kenyataaan malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata polis akan membuka kertas siasatan terhadap individu terbabit.
Beliau disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
PSM harap Agong umum jumlah sokongan terhadap Muhyiddin
8 pagi: Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengumumkan jumlah sokongan anggota parlimen yang diperolehi Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Menurut timbalan pengerusinya, S Arutchelvan, terdapat pelbagai versi jumlah yang diperolehi Muhyhiddin dan juga jumlah yang diperolehi oleh calon lain seperti Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad sendiri.
"Jika andaikata jumlah yang diperolehi oleh Muhyiddin Yassin hanyalah 114 seperti yang dilaporkan maka ia adalah satu jumlah yang amat mencemaskan kerana hanya memerlukan tiga orang sahaja MP untuk mengulingkan perdana menteri ke-8.
"Maka PSM amat mengharapkan Dewan Rakyat dapat dipanggil bersidang dalam masa terdekat untuk menyelesaikan kemelut politik ini untuk secara terbuka membolehkan 222 ahli parlimen menentukan nasib PM mereka.
"Kami juga berharap sehingga Dewan Rakyat tergempar ini bersidang, tidak ada lantikan kabinet dibuat kerana ia akan merumitkan sahaja keadaan," katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin angkat sumpah sebagai PM
Muhyiddin Yassin dijadual mengangkat sumpah pada hari ini sebagai perdana menteri gabungan baru yang digelar sebagai Perikatan Nasional.
Istiadat pengurniaan suratcara perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri itu akan diadakan di Istana Negara, pada jam 10.30 pagi.
Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 anggota Parlimen dan berharap Yang di-Pertuan Agong akan menyemak semula keputusan itu.
Bagaimanapun, dua anggota parlimen menafikan menyokong Mahathir, dengan kemungkinan lebih ramai yang akan berbuat demikian hari ini.