Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baru Bian kini sokong Dr M
Diterbitkan:  Feb 29, 2020 9:20 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian pula menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Upacara menandatangani SD itu turut disiarkan secara langsung melalui Facebook oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fahmi mendakwa PH kini mempunyai 114 sokongan ahli parlimen.

Untuk rekod, Baru Bian sebelum ini merupakan antara 10 pemimpin PKR yang keluar PKR dan menyokong bekas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Azmin dan kumpulannya sebelum ini dilaporkan menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baru.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Ahmad Fadil berkata, ia selepas Istana Negara menerima senarai calon perdana menteri daripada ketua-ketua parti politik.

Ia sebagai lanjutan proses temu duga Sultan Abdullah dengan semua anggota parlimen yang dibuat pada Selasa dan Rabu lalu.

Susulan perkembangan itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH akan mengemukakan perakuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang menyokong Mahathir sebagai perdana menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, surat daripada Istana Negara semalam tidak menyatakan secara khusus tempoh masa untuk kedua-dua pihak mendapatkan sokongan melalui SD.

"Kita yakin ada angka (sokongan MP) yang cukup, sebab itu kita usaha sampai saat ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS