Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bersih berkata mereka akan menyokong kerajaan yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad tetapi dengan syarat tertentu.

Selepas mesyuarat bersama beberapa NGO pada pagi ini, Bersih berkata mandat rakyat dalam PRU14 mesti dihormati dalam pembentukan kerajaan.

"Pertama, ia harus menjadi kerajaan PH berdasarkan manifesto Buku Harapan, kerana ini adalah mandat rakyat dalam PRU14.

"Ia mungkin juga ditambah dengan anggota baru, parti atau anggota parlimen, tetapi ahli-ahli baru mesti beri komitmen kepada Buku Harapan," kata pengerusi Bersih, Thomas Fann dalam sidang akhbar di pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini.

Syarat kedua, katanya, adalah agar pelan peralihan kuasa mesti dibuat dengan jelas kerana mereka percaya kemelut politik yang timbul hari ini antara lain disebabkan pelan peralihan kuasa yang tidak jelas.

Bersih juga menggesa Mahathir untuk memberi komitmen kepada janji untuk berundur sebagai perdana menteri dalam tempoh dua minggu selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

"Untuk meminimumkan ketidakpastian, penggantinya harus dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan orang itu harus Anwar Ibrahim, perdana menteri ke-8 yang dijanjikan oleh PH pada PRU14, atau calon lain yang dipersetujui oleh majlis presiden PH," kata Fann.

Ketiga, katanya, mesti ada pembaharuan besar dalam sistem politik dan pilihan raya bagi menggalakkan politik kepartian yang bertanggungjawab dan sihat.

Sebagai contoh, perlu ada had tempoh menjawat jawatan perdana menteri dan tidak menumpukan kuasa perdana menteri.

Parlimen juga perlu diperkukuhkan selain mewujudkan padang yang rata pada PRU15 untuk semua pihak bertanding, katanya.

Beliau juga mencadangkan bahawa perlu ada langkah-langkah untuk menggalakkan daya maju kerajaan dan mengekang ahli parlimen lompat parti.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS