Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Jangan main-main mengaku tahu perihal perbincangan di Istana Negara

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyuarakan rasa hairan dengan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka mengetahui perihal yang dibincangkan dalam Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tambahnya, pihak berkuasa akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan sehingga menggugat keharmonian negara.

“Bagaimana orang luar boleh tahu dengan jumlah undi (pertemuan selepas perbincangan ahli parlimen bersama Yang di-Pertuan Agong), jangan main-main dengan perkara macam ini.

“Saya telah arahkan pihak berkuasa ambil tindakan kepada pihak yang keluarkan kenyataan sehingga ganggu keharmonian negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara hari ini.

Sejak Ahad lalu, kemelut politik negara bermula dengan keruntuhan kerajaan PH yang menyaksikan perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa.

Ia berlaku ekoran tindakan Bersatu - yang mempunyai 26 kerusi parlimen - meninggalkan PH, selain 11 anggota parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali mengumumkan mereka menjadi ahli parlimen bebas.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas PKR memecat keanggotaan Azmin dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Ia kemudian menyaksikan kerajaan PH jatuh berdasarkan ketiadaan penguasaan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik mana yang mempunyai majoriti parlimen.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatan beliau sebelum itu pada hari yang sama.

Sementara itu, Abdul Hamid menjelaskan bahawa beliau dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi adalah bagi menjelaskan keadaan keselamatan negara kepada Tuanku.

“Alhamdullilah kami sudah pun sempat taklimatkan Tuanku berkenaan keadaan keselamatan seluruh Negara dan dilaporkan tenang cuma suhu meningkat,” katanya lagi.

Turut hadir dipanggil menghadap Yang di-Pertua Agong ialah Panglima Angkatan Tentera Affendi Bujang dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Sebentar tadi, Raja-raja Melayu telah tiba di Istana Negara, dijangka bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja.

Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 9.28 pagi tadi dipercayai membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mesyuarat itu yang dipercayai diadakan bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS