Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas setiausaha Zuraida nafi cuba pecahkan Anwar dan Amanah

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin, membuat laporan polis berhubung penyebaran tangkap layar mesej perbualan yang didakwa untuk memecahbelahkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Amanah.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ampang, Nor Hizwan Ahmad berkata "perbualan palsu" itu memberi gambaran seolah-olah dia yang menyimpan wang RM5 juta yang dikatakan dibayar untuk melaga-lagakan hubungan Anwar dengan Amanah.

Katanya, perbualan palsu itu memaparkan seorang individu diarahkan meminta wang RM5 juta daripadanya setelah individu berkenaan meminta wang daripada Adun Gombak Setia Hilman Idham.

Hilman merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas menteri hal ehwal ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Zuraida dan Azmin kedua-duanya keluar dari PKR bersama sembilan lagi anggota parti pada 24 Februari setelah terlibat dalam cubaan menubuhkan gabungan kerajaan baru bagi menyingkirkan kerajaan PH.

Kata Hizwan, dia sedar tentang tangkap layar perbualan palsu itu setelah ia tular di media sosial.

Dia meminta pihak polis untuk menyiasat 15 akaun Facebook dan tujuh kumpulan WhatsApp yang menyebarkan tangkap layar berkenaan.

Katanya, penyebaran tangkap layar itu merupakan satu bentuk serangan politik ke atasnya dan Hilman.

Sementara itu, seorang ahli PKR Muhammad Ghazali Zainal Abidin, 34 turut membuat laporan polis bagi pihak Hilman di balai polis Gombak semalam.

Hilman turut berkongsi laporan polis berkenaan di akaun media sosialnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS