Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hilman nafi tangkap layar upah RM5j, laporan polis dibuat
Diterbitkan:  Feb 28, 2020 3:38 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Satu laporan polis dibuat susulan tersebarnya gambar yang didakwa sebagai tangkap layar perbualan membabitkan Hilman Idham berkenaan gerakan untuk melaga-lagakan presiden PKR Anwar Ibrahim dengan parti Amanah.

Menerusi hantaran yang dikongsi Hilman di Facebooknya, dia mendakwa tangkap layar itu yang memaparkan nombor telefonnya itu sebagai palsu dan fitnah jahat bagi mencemar dan menjejaskan nama baiknya.

Dalam hantaran sama, Hilman turut mengepil salinan laporan polis yang dibuat terhadap penyebaran tangkap layar itu.

Dalam laporan yang dibuat oleh individu bernama Muhammad Ghazali Zainal Abidin, memperincikan, bahawa pada jam 11.04 malam semalam, dia menerima gambar tangkap layar itu di dalam kumpulan WhatApp Pemuda PKR (AMK) yang mempunyai 254 ahli.

Kira-kira sejam kemudian, katanya, dia dimaklumkan oleh Hilman melalui pegawai khasnya bahawa gambar tangkap layar itu adalah palsu dan dia turut diarahkan untuk membuat laporan polis berhubung gambar berkenaan.

“Tujuan laporan polis dibuat adalah untuk siasatan dan tindakan pihak polis,” kata petikan laporan tersebut.

Terdahulu, gambar tangkap layar perbualan itu dikesan tersebar tengah hari tadi, antaranya oleh bekas anggota majlis tertinggi Umno Lokman Adam.

Meskipun tidak dipaparkan nama, nombor yang tertera dalam gambar yang dikatakan sebagai tangkap layar perbualan itu, sama dengan nombor telefon kepunyaan Hilman Idham.

Perbualan itu berbunyi:

Individu tak dikenali: Perlukan lagi few million untuk agihkan budak-budak. Nanti saya update pada YB dan big boss. Semua dijangka beres. Propaganda untuk lagakan Anwar dengan Amanah sedang giat.

Individu didakwa Hilman: Meeting now. Jumpa dengan Hizwan dekat tempat biasa. Nanti update. Ambil 5 juta dulu. Tapi careful.

Individu tak dikenali: OK boss.

Individu didakwa Hilman: Delete all conversations. Jangan call.

Individu tak dikenali: OK boss. TQ.

Berdasarkan gambar perbualan itu, Hilman didakwa membayar sebanyak RM5 juta kepada seseorang sebagai upah melakukan kerja bagi melaga-lagakan hubungan Anwar dengan Amanah.

Dalam hantaran Facebook yang sama, Hilman yang juga Adun Gombak Setia berkata dia menyerahkan soal penyebaran gambar tangkap layar yang didakwanya palsu itu kepada pihak polis.

“Syukur, kerjasama ramai pihak telah berjaya mengesan penularan awal fitnah tersebut dan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS