Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengerusi Amanah Johor dilantik penyelaras PH

PH Johor memutuskan untuk melantik pengerusi Amanah negeri itu, Aminolhuda Hassan sebagai penyelaras gabungan berkenaan.

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata keputusan melantik Adun Parit Yaani itu dibuat hasil perbincangan bersama wakil rakyat Amanah, DAP dan PKR.

"Selepas Bersatu keluar dari PH, kami perlu berbincang antara tiga parti iaitu Amanah, DAP dan PKR untuk menentukan perjalanan parti selepas ini.

"Sebab itu kita lantik Aminolhuda sebagai penyelaras PH Johor kerana ini penting kerana kita memerlukan seseorang yang boleh menyelaras aktiviti PH Johor," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas di Johor Bahru malam tadi.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata PH Johor akan memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seberapa segera berhubung jumlah kerusi yang mencukupi bagi menerajui kerajaan negeri.

Terdahulu, PH Johor mendakwa gabungan baru daripada BN dan Bersatu tidak mempunyai sokongan majoriti memandangkan PH Johor juga mempunyai bilangan kerusi yang sama iaitu 28 daripada 56 kerusi DUN.

Tengah hari semalam, Istana Johor dalam satu kenyataan berkata Bersatu dan BN mempunyai majoriti mudah iaitu 28 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan "Gabungan Baru" berbanding PH dengan 26 kerusi, setelah temu bual baginda dengan 54 daripada 56 Adun Johor, petang kelmarin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS