Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Pramatang isytihar kerajaan negeri baru di Johor
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 9:56 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Badan pemantau pilihan raya, Bersih hari ini berkata pengisytiharan kerajaan campuran untuk menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor adalah bersifat pramatang.

Ini selepas pengumuman Istana Johor bahawa gabungan baru itu mendapat sokongan 28 Adun daripada 54 Adun, sedangkan dua lagi Adun masih tidak menyatakan pendirian.

"Terdapat risiko Dun tergantung dengan kiraan 28-28 sekiranya dua Adun itu kekal bersama PH dan pengisytiharan kerajaan negeri yang baru pada ketika ini boleh menjadi pramatang.

"Kami menggesa baginda Sultan Johor membenarkan Adun untuk memilih sendiri dalam sesi Dewan Undangan Negeri khas mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan negeri, sesuai dengan bagaimana Dewan Rakyat memilih perdana menteri akan datang," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua Adun yang masih belum menyatakan pendirian mereka ialah Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub (Amanah) dan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang (Bersatu).

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menemuduga hampir semua Adun untuk mengetahui sokongan mereka semalam tetapi Salahuddin, yang juga anggota parlimen Pulai tidak dapat hadir kerana ada temuduga berasingan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Mazlan, apabila dipanggil semalam, telah meminta lebih banyak masa untuk membuat keputusan.

Sekiranya 54 daripada daripada 56 Adun menyatakan sokongan mereka mengikut garis parti semasa temu duga itu diadakan, jumlah undi adalah bersamaan 27-27.

Bagaimanapun, undian 28-26 yang memihak kepada gabungan baru itu menunjukkan terdapat Adun telah berpaling dari PH.

Sumber PKR menuding jari kepada Adun Pemanis daripada parti itu, Chong Fat Full sebagai Adun yang mungkin berpaling tadah.

Apabila ditanya mengenai spekulasi itu semalam Chong menyatakan bahawa beliau kini "neutral". Hari ini, Chong menyatakan sokongan kepada PH tetapi Sultan Johor telah selesai menjalankan temu duga berkenaan.

Bersih, dalam satu kenyataan hari ini, turut menggesa Adun yang berpaling tadah untuk meletak jawatan.

"Selaras dengan gesaan kami sejak bermulanya krisis politik ini, kami menyeru kepada semua Adun PH yang meninggalkan PH bagi menyertai BN dan PAS dalam usaha untuk membentuk kerajaan baru untuk meletakkan jawatan dari kerusi mereka dengan segera kerana mereka bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 atas tiket PH.

"Tidak berbuat demikian akan menjadi pengkhianatan kepada pengundi yang mengundi mereka sebagai calon PH," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS