Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

YAB Tun,

“(Nabi) Muhammad itu tidak lain hanya seorang Rasul. Sebelumnya telah ada Rasul-Rasul yang lain.

Jika sekiranya Baginda meninggal atau dibunuh, adakah kamu semua akan berpaling semula ke belakang (meninggalkan ajarannya)?’ Al Imran: 144.

Firman Allah ini mengingatkan kita bahawa, dalam soal agama sekali pun, Rasul yang diutuskan tidak akan kekal bersama pengikut mereka.

Nabi-nabi lagi dimatikan, tetapi kehidupan beragama berjalan terus. Kitab-kitab sebagai pedoman adalah lebih kekal dan bertahan lebih lama dari kehidupan para Rasul.

Begitu juga lah dengan para pemimpin.

Sekali pun Tun memang seorang pemimpin yang hebat, satu hari Tun akan pergi dan Malaysia perlu meneruskan perjalanan dengan pemimpin yang lain pula.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW dimatikan dalam usia yang relatif masih muda – 63 tahun. Apabila misinya membawa ajaran Allah telah selesai, baginda dipanggil maut.

Tun hidup jauh lebih lama dari Nabi Muhammad SAW. Namun, tidak bermakna Malaysia sentiasa selamanya perlu bergantung kepada Tun.

Jalan kestabilan dan masa depan Malaysia terletak kepada pertukaran kepimpinan.

Oleh itu, menjadi salah satu tugas Tun, meletakkan asas pertukaran kepimpinan negara dalam keadaan teratur dan licin.

Bukan hanya memikirkan Tun mesti memegang kuasa untuk selama-lamanya.

Tun perlu menyediakan pelan peralihan kuasa itu jika benar Tun sayangkan Malaysia dan tidak memikirkan kepentingan Tun sendiri semata-mata.

Bahkan, ini adalah yang paling penting demi kelangsungan kestabilan dan kemajuan negara ini, lebih-lebih lagi dalam usia Tun sekarang.

Tun,

Untuk tujuan memantau kepimpinan baru yang diletakkan demi negara itu, Tun boleh masuk semula ke dalam kabinet sebagai menteri kanan seperti mana langkah Lee Kuan Yew dalam menyusun Singapura selepasnya.

Semasa itu, Tun boleh membetulkan apa yang difikirkan perlu dibetulkan.

Jika ia dilakukan sekarang, Tun boleh hadhir mewakili kerajaan Malaysia dan negara di sidang Apec sebagai pemimpin yang benar-benar ulung, berkorban untuk negara, serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan dan sentimen peribadi.

Tun adalah Pemimpin Agung, bagi pandangan kami – jika berlaku demikian.

Tun,

Mengenai cadangan Tun untuk melantik anggota kabinet merentasi parti-parti dan tidak tertakluk kepada parti menguasai kerajaan, ada beberapa perkara yang menjadi persoalan.

Maafkan saya untuk menyentuh perkara ini.

  • Tun tidak pernah membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan mana-mana pihak. Ia hanya muncul secara mendadak selepas Tun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai PM Interim hasil perletakan jawatan oleh Tun sendiri.
  • Lantaran itu, timbul kebimbangan besar bahawa sistem baru yang dicadangkan oleh Tun ini akan mengubah amalan sistem demokrasi ala Westminster sekarang kepada pemusatan kuasa hanya kepada se orang individu berjawatan perdana menteri. Sistem semak dan imbang tidak lagi boleh berfungsi dengan baik.

Kuasa akan berpusat kepada seorang insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari ini dan esok - kepada siapa kita belum tahu.

Jika beliau melantik pemimpin baik dan jujur, negara beruntung. Jika beliau melantik orang tertentu yang rapat dengannya, atau kitaran semula, atau mempunyai agenda tersembunyi, negara akan menjadi lebih parah.

Pemusatan kuasa kepada seseorang, adalah cenderung menjadi tidak baik. Negara seperti cacat, sentiasa perlukan pemimpin tunggal. Pemimpin tunggal pula akan cenderung berlaku salah kerana kuasa yang terlalu besar itu.

Saya tidak katakan ia sebuah kerajaan diktator dengan makna yang luas, tetapi ia cenderung ke arah itu.

Kabinet akan hanya menjadi rubber stamp pemimpin tunggal itu.

  • Ada juga yang bertanya, semasa YB Mazlee Malek (bekas menteri pendidikan) mengosongkan jawatannya baru ini, kenapa peluang itu tidak digunakan untuk membuat lantikan seperti konsep yang dikemukakan oleh Tun.

Tun,

Saya harus mengingatkan Tun kepada kemungkinan kemunculan semula ke tapak kuasa, kepimpinan kleptokrat yang telah kita bersama tumbangkan.

Tun lah, secara fakta dan sentimental, menjadi salah satu factor terpenting dalam kejayaan rakyat negara ini memerdekakan Malaysia dari cengkaman amalan kleptokrat terdahsyat dalam PRU lalu.

Tanpa Tun, ia tidak terhasil.

Jangan pula kerana kesilapan langkah Tun di akhir usia, mereka kembali berkuasa. Baik melalui penyusunan politik yang Tun lakukan sekarang, mahu pun dalam PRU yang akan datang kerana ketiadaan susunan parti-parti yang sama perjuangan dengan Tun dalam memerangi kleptokrat ini.

Umno dengan bilangan ahli parlimennya yang besar, boleh sahaja menelan parti Bersatu jika ia diberi ruang.

Sementara PAS, adalah rakan kumpulan kleptokrat sejak asal.

Ruang berkerajaan kepada PAS akhirnya akan menyebelahi kleptokrat.

Dalam hal ini, saya menyeru Tun mengembalikkan Bersatu ke dalam PH.

PH, saya lihat, masih terbuka.

Bila dimaklumkan Tun telah meletakkan jawatan kerana ditekan oleh pemimpin Bersatu sendiri dalam mesyuarat Bersatu pada 21 Feb lalu, kami semua menitiskan air mata.

Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) menangis di depan Tun. Sama seperti Mat Sabu (Mohamed Sabu). Lim Guan Eng menggeletar. Tun telah saksikan sendiri.

Ini semua tanda cinta kami kepada Tun atas nama kestabilan negara Malaysia.

Kami masih akan memberi ruang kepada Tun dan pasukan. Bahkan, saya tidak ragu-ragu untuk secara terbuka membuat cadangan kepada pimpinan PH untuk melantik YAB Mukriz sebagai calon timbalan perdana menteri di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan itu, kerajaan negeri Kedah dan negeri-negeri yang lain akan dapat diselamatkan.

Satu kemaslahatan yang lebih luas, yang Tun perlu timbangkan.

Tun,

Peristiwa-peristiwa misteri berlaku hampir serentak pada Ahad, 21 Februari lepas.

Kesemuanya menuju kepada gangguan susunan pemerintahan negara.

Esoknya, pasaran saham, sebagai salah satu petanda kesan Gerakan Sheraton, jatuh teruk.

Ekonomi negara dan nasib sebahagian rakyat menjadi pertaruhan.

Tun mesti bertindak ke atas pensabotaj ini. Tun mesti menjauhkan diri dari mereka sebagai tanda Tun tidak merestui tindakan mereka.

Jangan pula Tun dilihat sebagai dalang di sebalik tindakan mereka.

Memang benar Tun telah menyatakan sebab Tun meletakkan jawatan sebagai PM adalah kerana menolak agenda Gerakan Sheraton secara keseluruhan, termasuk dari parti Tun sendiri – tetapi atas nama kepentingan negara, itu belum cukup.

Sesuatu tindakan yang tegas ke atas mereka adalah diperlukan.

Apa lagi untuk Tun memasukkan mereka semula dalam kerajaan atas apa jua nama.

Ia akan menjadikan prinsip rakyat Malaysia yang seharusnya menolak sebarang bentuk pengkhianatan akan dipermainkan.

Ia mendidik rakyat kita menjadi tidak berprinsip dan ini buruk untuk negara dalam jangka panjang.

Pengkhiantan adalah pengkhianatan.

Tun – you should be above all this things.

Akhir kata, kemelut ini perlu ditamatkan cepat demi negara.


HUSAM MUSA merupakan naib presiden Amanah.

Surat ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS