Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Protes VC di majlis konvokesyen: Graduan UM didakwa di mahkamah

Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung protes terhadap naib canselor yang dilakukannya pada majlis konvokesyen tahun lalu.

Bekas aktivis pelajar tersebut didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menggugat keamanan.

Dakwaan tersebut membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Wong kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 10 pagi di UM pada 14 Okt tahun lalu.

Fardiana kemudian membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan kes.

Semalam, Wong memberitahu Malaysiakini dia mendapat panggilan dari pihak polis yang memberitahu mengenai pertuduhan tersebut.

Wong yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan pada ketika itu, melaungkan “Tolak rasis. Undur VC” sambil memegang plakad sewaktu upacara penyampaian skrol ijazahnya.

Plakad tersebut turut menyenaraikan sebab Naib Canselor Abdul Rahim Hashim patut meletakkan jawatan.

Salah satu sebab yang dilaungkan oleh Wong adalah menurutnya, Rahim dikatakan bersifat rasis, mencabul kebebasan akademik, berkhidmat sebagai ‘boneka politik’ dan gagal dalam menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Wong kemudiannya menambah bahawa sebahagian daripada protes itu adalah mengenai ucapan Rahim yang berbaur perkauman sewaktu Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Rahim dalam ucapannya di kongres berkenaan berkata bahawa perubahan dalam kerajaan selepas PRU ke-14 telah melenyapkan dominasi ahli politik Melayu.

Selain itu, Rahim juga turut memberikan amaran supaya kontrak sosial sedia ada tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Pihak universiti kemudiannya mengecam tindakan Wong dan memfailkan laporan polis dengan kenyataan bahawa walaupun mereka menyokong kebebasan bersuara, tindakan tersebut dikatakan tidak menghormati majlis graduasi dan mencemar nama baik UM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS