Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baki 132 anggota parlimen menghadap Agong hari ini

Sesi kedua anggota parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 anggota Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnin lalu.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 anggota parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baru.

Ia susulan keputusan mengejutkan Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selepas menerima surat peletakan jawatan itu.

Baginda turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Dr Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama.

Sementara itu, di Putrajaya, Dr Mahathir dijadual menemui presiden Warisan Mohd Shafie Apdal di Pejabat Perdana Menteri

PH juga dijangka mengeluarkan kenyataan hasil mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung malam tadi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS