Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan.

Malah beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri besar dan mendakwa kekal mendapat sokongan majoriti anggota dewan undangan negeri (Adun).

"Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Perak masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan.

"Saya masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab menteri besar menurut yang diamanahkan, dan kekal mendapat sokongan majoriti Adun negeri Perak, manakala barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri(exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebagai rekod PH Perak mempunyai 29 kerusi DUN terdiri daripada satu kerusi Bersatu, enam dimiliki Amanah, empat kerusi Bersatu dan 18 kerusi DAP.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, beliau sudah menyembah maklum berhubung kedudukan politik negara dan negeri kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Sultan Azlan, semalam.

"Saya menyeru persefahaman rakyat membantu usaha usaha yang sedang dijalankan agar kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini dapat diatasi dengan baik, untuk membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha usaha pembangunan untuk kepentingan rakyat.

"Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah membolehkan kita mendapat penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS