Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kami gagalkan konspirasi singkir PM di tengah penggal - Azmin
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 11:30 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Usaha pihak tertentu menyokong Dr Mahathir Mohamad sekarang membuktikan mereka kini sedar "kesalahan yang mereka lakukan," kata sekumpulan bekas pimpinan PKR yang diketuai Azmin Ali.

Dalam suatu kenyataan bersama, para anggota parlimen itu menjelaskan tindakan mereka bermaksud untuk menghalang konspirasi yang bertujuan menjadikan Dr Mahathir sebagai 'perdana menteri yang pincang' (lame duck) dengan memaksa peralihan kuasa pada pertengahan penggal mandat PRU.

"Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri di tengah-tengah penggal.

"Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat. Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan perdana menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa perdana menteri dari perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.

"Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedar kesalahan yang mereka lakukan, lantaran itu kenyataan mereka menyokong Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri hingga akhir penggal," jelas mereka.

Kenyataan terakhir ini merujuk kepada sokongan daripada Amanah dan DAP kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri. Bagaimanapun, sokongan dua parti ini tidak menyebut sehingga Mahathir menghabiskan penggal mandat PH.

Kenyataan ini ditandatangani pimpinan dan bekas MP PKR Azmin, Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Baru Bian, Kamaruddin Jaafar, Mansor Othman, Rashid Hasnon, Edmund Santhara, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Cubaan untuk mengambil alih pentadbiran negara gagal pada hari ini menyebabkan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, dikatakan kerana tidak merestui gabungan politik baru yang sejajar dengan Azmin.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik beliau sebagai perdana menteri interim sehinggalah kerajaan baru mengangkat sumpah.

Percubaan untuk membentuk kerajaan baru dengan penjajaran semula sokongan politik itu telah mengheret Bursa Malaysia FBM KLCI turun ke paras terendah sepanjang 8 tahun ketika ditutup hari ini pada 2.68 peratus atau 41.14 mata lebih rendah berbanding penutupan hari Jumaat sebanyak 1,531.20.

Percubaan menukar kerajaan ini disokong oleh Bersatu, yang telah keluar daripada Pakatan Harapan, serta Umno dan PAS.

Warisan dan GPS juga kelihatan menyokong gerakan itu, namun Warisan hari ini mengulang pendiriannya menyokong Mahathir.

Selepas bertemu perdana menteri pagi ini, DAP dan PKR mendakwa Mahathir tidak menyokong rampasan kuasa itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS