Kumpulan media yang "berkampung" di Istana Negara bagi membuat liputan perkembangan terkini kemelut politik tanah air dijamu KFC oleh pihak istana.
Media yang mula berada di pintu masuk Istana Negara sejak awal pagi lagi menerima sumbangan berkenaan daripada wakil istana.
Ia sebagai meraikan petugas media yang dari awal berada di Istana Negara bagi melihat pergerakan masuk pemimpin politik tanah air.
Wakil istana menghantar KFC kepada petugas media sambil diiringi oleh pengawal bersenjata yang bertugas.
Ia sedikit sebanyak menceriakan warga media yang bertugas bagi membawa liputan terkini kepada orang ramai berhubung krisis perlembagaan.
Untuk makluman, pihak media mula berkampung di Istana Negara bermula petang semalam, selepas desas desus pertukaran kerajaan tercetus.
Ia susulan pemimpin Bersatu, Umno, PAS, GPS dan Warisan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Hari ini, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong.