Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin umum Bersatu keluar PH
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 2:12 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin hari ini mengumukan bahawa parti itu telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas parti yang diadakan semalam.

“Semua Ahli Dewan Rakyat dari parti Bersatu juga dengan ini keluar Pakatan Harapan. Semua mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook peribadinya.

Pengumumannya itu hadir sejurus sebelum Dr Mahathir menghantar surat peletakan jawatannya selaku perdana menteri kepada Istana Negara, petang tadi.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan Dr Mahathir telah menghantar surat itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengahari.

Semalam, dalam mesyuarat khas yang berlangsung selama empat jam, Dr Mahathir mengunci mulut daripada memberikan sebarang komen tentang apa yang berlaku.

Pemimpin-pemimpin parti itu juga kebanyakannya mengunci mulut, kecuali beberapa orang yang menjelaskan kepada media bahawa mesyuarat itu hanya “mensyuarat biasa”.

Pada masa yang sama, beberapa pemimpin PKR turut mengadakan perjumpaan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, tidak jauh daripada ibu pejabat Bersatu.

Spekulasi bertiup kencang bahawa ada gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, dan membentuk satu pakatan baru melibatkan BN dan PAS.

Menguatkan spekulasi itu, beberapa puluh kenderaan kenaman turut dilihat masuk ke dalam Istana Negara, dan hanya keluar beberapa jam kemudian.

Semalam juga, pemimpin PKR, Bersatu, BN dan PAS dilihat hadir ke Hotel Sheraton untuk majlis makan malam, yang dibanjiri petugas media yang membuat liputan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS