Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saham global, harga minyak menjunam
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 1:16 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

GLOBAL l Kebimbangan melonjak hari ini apabila penularan Covid-19 (koronavirus) di luar China akan menjadi wabak yang menjejaskan pertumbuhan dunia dengan angka jangkitan serta kematian meningkat di Korea Selatan, Itali dan Asia Barat.

Peningkatan jangkitan kes itu di Korea Selatan dan Itali serta kematian yang tinggi di Iran sepanjang hujung minggu lalu menyaksikan pasaran saham global, khususnya di Asia dan harga minyak menjunam dengan pelabur membawa modal mereka ke pasaran emas.

Harga saham dan minyak menjunam manakala emas pula melonjak ke paras tertinggiu dalam tujuh tahun. Mata wang Korea Selatan, won jatuh 0.8 peratus ke paras terendah sejak Ogos.

Seoul meletakkan amaran tinggi selepas jumlah jangkitan melonjak kepada 700 orang manakala kematian meragut tujuh nyawa.

Di Itali, pegawainya berkata individu ketiga yang dijangkiti virus itu meninggal dunia, manakala jumlah kes melonjak melebihi 150 berbanding hanya tiga sebelum Jumaat lalu.

Iran, yang mengumumkan jangkitan pertama minggu lalu berkata, ia mengesahkan 43 kes dan lapan kematian, dengan kebanyakan jangkitan di bandar suci Syiah, Qom.

Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Turki dan Afghanistan mengenakan sekatan perjalanan dan imigresen ke atas Iran.

Sementara itu, Reuters juga melaporkan indeks saham Asia menyaksikan ‘lautan merah’.

Penanda aras Australia susut 2.2 peratus manakala pasaran New Zealand berada 1.3 peratus lebih rendah.

Indeks KOSPI Korea Selatan jatuh kira-kira tiga peratus.

Saham China dibuka rendah dengan indeks CSI300 merosot 0.6 peratus.

Ia menyebabkan indeks MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun jatuh 1.6 peratus ke paras terendah sejak awal Februari.

Pasaran Jepun ditutup sempena cuti umum.

“Terdapat banyak berita buruk mengenai Covid-19 dengan jumlah kes baru masih meningkat,” kata ahli ekonomi AMP, Shane Oliver dalam satu nota.

“Sudah pasti, terdapat banyak kecelaruan mengenai data kes, dengan kes baharu di luar China masing dilihat meningkat dengan ekonomi China berkemungkinan menguncup pada suku berakhir Mac.”

Ahli ekonomi secara umumnya menurunkan unjuran pertumbuhan China dan dunia ketika sekatan perjalanan telah menjejaskan sektor pelancongan, rantaian bekalan dan output kilang di beberapa negara.

Oxford Economics menganggarkan pertumbuhan output ekonomi dunia akan jatuh kepada hampir sifar pada separuh pertama 2020, jika penularan Covid-19 menjadi wabak global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS