Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia lesu susulan kemungkinan pengaturan semula politik
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 12:38 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini apabila ketidakpastian politik berhubung kerajaan diketuai Pakatan Harapan telah menyeret turun semua indeks.

Pada 9.47 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.70 mata kepada 1,509.50 daripada paras penutup 1,531.20 pada Jumaat, selepas dibuka 29.73 mata lebih rendah kepada 1,501.47 pagi ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 767 berbanding 64 dengan 155 kaunter tidak berubah, 1,013 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 962.20 juta saham bernilai RM734.64 juta.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata ketidakpastian berhubung landskap politik tempatan dijangka bakal mempengaruhi pasaran tempatan hari ini.

“Jualan dijangka berterusan sehingga keadaan menjadi reda. Bagaimanapun, tempoh masanya tidak diketahui dan selagi ia berterusan, terdapat risiko tinggi aliran keluar pada hari-hari berikutnya,” katanya.

Majoriti kaunter utama dengan pegangan kerajaan seperti Maybank dan Tenaga Nasional kedua-duanya turun lapan sen masing-masing kepada RM8.33 dan RM12.70, Public Bank jatuh 26 sen kepada RM17.88, Hong Leng Bank berkurangan 30 sen kepada RM15.02, CIMB group jatuh sembilan sen kepada RM4.91 dan Petronas Chemical susut tujuh sen kepada RM6.38.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, produk pengguna mecatatkan penurunan terbesar dengan Dutchlady turun RM1.22 kepada RM44.60, F&N susut 46 sen kepada RM30.08, Ajinamoto jatuh 28 sen kepada RM15.70 manakala Heineken berkurangan RM2.14 kepada RM28.90.

Dalam kalangan kaunter cergas, MyE.G meneruskan aliran menurunnya jatuh dua sen kepada RM1.28, Alam Maritim, Sapura Energy dan Powerwell semuanya jatuh lima sen masing-masing kepada 13.5 sen, 23 sen dan 37 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 182.15 mata kepada 10,783.46, Indeks FBMT 100 susut 174.51 mata kepada 10,572.60 dan FBM Ace berkurangan 71.99 mata kepada 5,674.93.

Indeks FBM Emas jatuh 198.97 mata kepada 11,458.28 dan FBM 70 susut 316.39 mata kepada 13,565.40.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.96 mata kepada 143.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 184.97 mata kepada 14,510.95 dan Indeks Perladangan berkurangan 200.73 mata kepada 6,933.92.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS