Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Orang Asli mohon MB S'gor pulihara Hutan Simpan Kuala Langat

Pada hari rakannya memberitahu bahawa Hutan Simpan Kuala Langat Utara akan dimansuhkan statusnya, Asih Jehat tidak dapat tidur malam memikirnya.

Bapa kepada empat orang anak dari Kampung Busut Baru di Kuala Langat itu berkata: "Saya kecewa. Saya tidak dapat tidur malam memikirkannya."

"Kami (orang asli) sayangkan hutan kita. Ia merupakan sumber pendapatan untuk memberi makan kepada keluarga kami.”

Asih berasal dari Sepang tetapi dia dan penduduk kampung lain telah berpindah ke sini disebabkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira dua dekad lalu.

Di sinilah lelaki berusia 40-an itu menyara keluarganya. Keluarganya yang lain juga membesar di situ dan berasa dekat dengan hutan berkenaan.

Dia mengenali setiap sudut kawasan hutan tersebut dan boleh menamakan setiap jenis pokok dan tahu bagaimana ia boleh dijadikan sebagai ubat, alat memburu atau hasil kraftangan.

Bukan sahaja mereka menjadikan hutan sebagai sumber rezeki, tetapi Orang Asli juga percaya bahawa nenek moyang mereka tinggal di hutan dan melindungi mereka.

"Kalau hutan ditebang habis, tiada apa yang tinggal untuk kami.

"Saya memohon menteri besar (Selangor) untuk membatalkan rancangan memansuhkan (status Hutan Simpan Kekal), kami sangat sayangkan hutan kami," katanya.

Asih memberitahu Malaysiakini semasa lawatan media ke beberapa bahagian hutan yang dikenali sebagai Hutan Pauh, yang terletak berhampiran Kampung Busut Baru dan Kampung Bukit Raja di Kuala Langat hari ini.

Lawatan tersebut dianjurkan oleh gabungan tujuh NGO alam sekitar dan badan bukan kerajaan lain.

Mereka terdiri daripada Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC), Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Grass Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Treat Every Environment Special (TrEES).

Tanpa hutan, anak cucu Orang Asli tak kenal jenis pokok

Terdahulu, beberapa Tok Batin melahirkan rasa kecewa dengan langkah kerajaan negeri yang bercadang memansuhkan status hutan tersebut.

Tok Batin Bukit Cheeding, Bayet Pipis berkata jika hutan hilang, generasi Orang Asli di sini tidak akan kenal tentang pokok-pokok dan adat orang asli yang berkaitan dengan hutan.

"Anak cucu tidak akan tahu apa itu (pokok) Meranti Bunga atau Meranti Bakau.

"Mereka tidak akan kenal apa-apa mengenai pokok. (Tradisi itu) akan pupus sahaja. Orang tua tidak akan dapat menunjukkan kepada mereka bagaimana mereka boleh mendapat manfaat daripada pokok-pokok," katanya.

Sementara itu, penduduk Pulau Kempas Tonjoi Pipis pula menekankan bahawa tanpa hutan, Orang Asli akan terpisah dari rutin harian mereka.

"Hutan adalah sumber utama aktiviti (harian kami). Tanpanya, ia tidak bermakna.

"Kami tidak akan dapat menghasilkan herba. Semua kegiatan memancing dan memburu akan hilang," katanya.

Menurut NGO, Hutan Simpan Kuala Langat adalah hutan paya gambut yang penting untuk memelihara kepelbagaian biodiversiti global, menyediakan air minuman yang selamat, meminimumkan risiko banjir dan membantu menangani perubahan iklim.

Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, hutan itu menyediakan peluang untuk para penyelidik mempelajari tentang pokok yang berpotensi dijadikan ubat.

“Sebelum ini, di negeri di Borneo, para penyelidik mempelajari potensi penyembuhan kanser dari satu set pokok. Apabila mereka kembali semula ke kawasan itu, ia (pokok tersebut) hilang, dan kawasan tersebut bertukar ganti dengan pembangunan.

"Mereka pergi mencari pokok yang sama di tempat lain, tetapi tidak sama.

"Mungkin penawar untuk kanser ada di hutan ini. Kita takkan tahu tidak kecuali kita mengkajinya. Jadi ada banyak manfaat yang dapat diperoleh dari hutan ini," katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini mendakwa kerajaan bercadang untuk menjadikan hutan itu sebagai zon pembangunan bercampur.

Antara lain, Amirudin mendakwa bahawa 40 peratus kawasan hutan itu telah merosot kualitinya dan terdedah kepada kebakaran hutan.

Katanya, berdasarkan keadaan itu maka timbul cadangan untuk mengeluarkan tanah sebagai rizab hutan.

Amirudin berjanji untuk menjadikan hutan-hutan lain sebagai rizab dan mengekalkan 30 peratus tanah di Selangor sebagai hutan simpan.

Beliau tidak menjelaskan tujuan sebenar tanah itu digunakan. Satu laporan oleh Straits Times Singapura melaporkan bahawa kemungkinan kerabat diraja merupakan antara pemaju tanah tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS