Mandatori bagi pengusaha tanaman sawit di tanah seluas 40 hektar dan ke atas mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) berkuat kuasa pada tahun ini, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim.
Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menarik balik lesen pengusaha yang gagal mematuhi perkara berkenaan.
"MSPO adalah mandatori untuk tanaman sawit 100 ekar (40 hektar) dan ke atas," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Sayangi Sawitku peringkat Sabah di Teck Guan Cocoa Village di Tawau, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau yang mewakili Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.
Menurut Kok, setakat 21 Feb lepas, seluas 4.42 juta hektar atau 74.8 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO.
"Manakala kilang buah sawit yang mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 390 daripada 452 kilang buah sawit di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Kok berkata kerajaan menjangkakan kenaikan harga minyak sawit mentah pada tahun ini berikutan pelaksanaan biodiesel B20.
"Prestasi minyak yang tidak memberangsangkan semenjak 2018 mula menunjukkan tanda positif dengan paras harga minyak sawit mencecah RM3,013.50 setan pada Januari 2020," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie dalam teks ucapan yang dibaca Madius, berkata program hari ini adalah kesinambungan usaha Sabah memperkukuhkan imej industri sawit negara yang berdepan cabaran, tohmahan serta kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU)
"Blok EU ini mendakwa industri sawit negara mengakibatkan penyahhutanan tropika selain kemusnahan biodiversiti terutamanya orang utan, walhal kerajaan melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dalam pemuliharaan orang utan," katanya.
Katanya Sabah akan terus bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama dan penggiat industri sawit untuk memelihara hidupan liar sebagai khazanah warisan negeri sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memastikan industri sawit kekal mampan dan mesra alam.
-Bernama