Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KWSP umum dividen 5.45% konvensional, 5% syariah
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

KEMASKINI 4.30PM | Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45 peratus dengan jumlah agihan RM41.68 bilion untuk simpanan konvensional untuk 2019.

Bagi simpanan syariah pula, kadar dividen diisytiharkan lima peratus dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata kadar tersebut ekoran prestasi kukuh KWSP pada tahun lalu yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan.

KWSP berkata dividen pada kadar 2.95 peratus melebihi yang dimandatkan oleh Akta KWSP 1991, yang menyatakan dividen nominal tahunan perlu sekurang-kurangnya 2.5 peratus.

KWSP berkata lagi, dividen 5.45 peratus itu adalah "pencapaian mantap" susulan 2019 yang mencabar.

Selain itu, KWSP juga memaklumkan berjaya mencatatkan dividen purata tiga tahun untuk simpanan konvensional, selepas penyelarasan inflasi, pada 4.33 peratus, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu dua peratus.

"Seperti jangkaan, kita melihat keadaan yang lebih tidak stabil pada 2019 berbaning 2018.

"Banyak isu dalam pasaran global kekal tidak selesai, tetapi kita juga lihat beberapa isu baru timbul. Ada tiga potongan kadar dibuat oleh Federal Reserve Amerika Syarikat (AS), pertikaian dagang AS-China meningkat dan tak selesai, dan ketidaktentuan sekitar rundingan Brexit," kata CEO KWSP Alizakri Alias.

"Selain itu, kita juga tidak menjangka protes Hong Kong akan berlanjutan dan ia tentunya menambah tekanan terhadap pasaran timur jauh yang sedia tidak kukuh (fragile).

"Pasaran domestik juga tidak menyokong kemampuan menjana pendapatan oleh KWSP memandangkan 70 peratus aset kami berada dalam Malaysia, dengan bahagian besar daripada aset kami dalam ekuiti domestik," katanya lagi.

Alizakri berkata, struktur pembuatan keputusan dan agihan aset strategik memberikan sistem yang kuat yang melindungi KWSP daripada masalah ekonomi.

Beliau juga menjelaskan dividen untuk simpanan syariah lebih rendah kerana aset yang patuh syariah yang boleh dijadikan tempat pelaburan lebih sedikit berbanding aset konvensional.

"Dividen dari simpanan syariah berbeza kerana jenis aset yang boleh kita labur yang patuh syariah tidak seluas konvensional. Majoriti pelaburan dalam pasaran domestik, yang tidak menunjukkan pencapaian yang baik pada 2019," katanya lagi.

Alizakri berkata KWSP menjangkakan 2020 sebagai lebih mencabar.

"Kami menjangka tahun ini sama atau lebih mencabar berbanding 2019, dengan kesan penuh virus Covid-19 mungkin akan menjejaskan pertumbuhan global yang sedia perlahan.

"Perang dagang AS-China masih belum menunjukkan tanda untuk berakhir, selain risiko lain bagi pemulihan ekonomi.

"Kami harap pasaran domestik akan menjadi bingkas, terutama susulan pakej stimulus yang akan diumumkan kerajaan yang akan menyokong sentimen pelabur dan pengguna," katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS