Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nelayan hilang di laut ditemukan selamat di perairan Rengit

Ramli Rashid, nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas keluar menangkap ikan di perairan Rengit dekat Batu Pahat tiga hari lepas, ditemukan selamat di Bengkalis, Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) menerima maklumat daripada Zon Maritim (ZM) Batu Pahat berhubung penemuan Ramli, 38, oleh orang kampung di Kampung Pantai Desa Tambang, Bengkalis, kira-kira 7 malam tadi (waktu Malaysia).

"ZM Batu Pahat berjaya mendapatkan pengesahan bahawa nelayan yang ditemui disahkan sebagai Ramli oleh keluarganya. Dengan pengesahan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap Ramli ditamatkan pada 10.30 malam tadi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata sehubungan itu, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi penyelamat, komuniti nelayan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam SAR berkenaan yang turut melibatkan dua pesawat, dua kapal dan empat bot daripada pelbagai agensi.

Ramli, dilaporkan hilang pada 11.30 malam Rabu lepas apabila tidak pulang selepas keluar menangkap ikan pada kira-kira 7 pagi hari yang sama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS