Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga didakwa hantar komunikasi ugutan terhadap menteri
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi berbaur ugutan melalui Facebooknya terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung penjualan aset Tabung Haji.

Nor Zigan Mohd Tori, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengugut orang lain, melalui Facebook "Zihan Tori" pada jam 8.06 pagi, Selasa lalu.

Pautan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 28, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, pada jam 2.30 petang, hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syahieza Md Hadzaid menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Sharil Azwan Nizan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan tertuduh mempunyai seorang anak dan isterinya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS