Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua wanita Malaysia ditahan seludup 3kg ganja ke S'pura

Dua wanita muda warga Malaysia ditahan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura selepas ganja seberat 3.031 kilogram (kg) ditemukan dalam kereta yang mereka naiki di Pusat Pemeriksaan Tuas, Rabu lalu.

ICA, dalam kenyataan hari ini, berkata pada jam 4.48 pagi, pegawainya yang menjalankan pemeriksaan terhadap kereta pendaftaran Malaysia itu mengesan dua bungkusan ganja seberat 2.017kg yang disembunyikan di dalam kusyen tempat duduk belakang.

Dua wanita berusia 22 dan 23 tahun dalam kereta itu ditahan dan kes tersebut dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB), katanya.

Pemeriksaan susulan oleh pegawai CNB kemudian menjumpai satu lagi bungkusan ganja seberat 1,014kg tersembunyi di kusyen sebelah kiri tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Menurut ICA, jumlah dadah yang dirampas itu bernilai sekitar S$30,000 (RM89,843).

Ganja adalah dadah terkawal Kelas A yang disenaraikan di bawah Akta Salah Guna Dadah Singapura. Adalah satu kesalahan untuk mengambil, memiliki, mengedar, mengimport atau mengeksport mana-mana jenis dadah terkawal di bawah akta tersebut.

Mengikut akta tersebut, memilik dadah melebihi 250 gram membawa kepada hukuman mati.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu lori warga Malaysia berusia 27 tahun ditahan setelah cuba menyeludup 5,220 karton rokok tanpa cukai di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Isnin lalu.

ICA berkata dalam insiden jam 4.39 pagi itu, pegawainya melakukan imbasan ke atas lori dengan nombor pendaftaran Malaysia itu dan menemui objek mencurigakan dalam muatan yang disytiharkan sebagai sayuran.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan karton rokok berkenaan dalam kotak-kotak kadbod yang disorokkan dalam muatan sebenar.

Katanya, jumlah duti rokok terbabit dianggarkan sebanyak S$445,788 (RM1.335 juta) manakala jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula dianggarkan sebanyak $36,094 (RM108,093).

ICA berkata pemandu tersebut memiliki lesen memandu palsu dan dirujuk kepada Kastam dan polis untuk siasatan lanjut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS