mk-logo
Berita
MB: Hutan Simpan Kuala Langat dah jadi hutan rosot, akan diganti lain
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 9:40 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempertahankan cadangan kerajaan negeri memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) dengan mengatakan 40 peratus kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot.

Dalam satu taklimat media semalam, beliau menerangkan sebab di sebalik rancangan penyahgazetan seluas 930.93 hektar (97.1 peratus) daripada hutan simpan seluas 958 hektar untuk projek pembangunan bercampur.

Amirudin berkata, kualiti pokok di hutan simpan Kuala Langat  yang merupakan hutan gambut telah merososot akibat kebakaran dan menimbulkan bahaya kebakaran ke kawasan sekitarnya.

"40 peratus daripada kawasan ini merupakan kawasan yang sudah menjadi hutan rosot iaitu hutan-hutan yang terbakar dan kerosakan yang mana tak mempunyai elemen-elemen hutan lama atau hutan dara yang tidak disentuh.

"Jadi kita cuba untuk mengubah kawasan sini sesuai dengan kawasan persekitaran, sebab di hadapannya akan ada pembangunan oleh Selangor Business Capital oleh PKNS. Di bahagian tepinya ada (pembangunan) dimiliki oleh Gamuda.

"Dan proses ini adalah juga untuk mengelakkan kebakaran hutan yang sebenarnya mengancam kepada kawasan ekosistem ini pada suatu ketika dahulu," katanya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Amirudin menambah pemansuhan status hutan simpan itu akan memberi manfaat kepada projek Laluan Pantai Timur (ECRL) memandangkan landasan keretapi itu akan dibina melalui kawasan berkenaan.

 "Proses penyahgazetan ini juga untuk memberikan laluan kepada ECRL yang saya kira merupakan suntikan kekuatan ekonomi baru yang bakal galvanise (menggalakkan) beberapa industri khususnya di Pantai Timur dan negeri Selangor yang turut menjadi laluan kepada ECRL," katanya.

Ganti hutan lain

Menteri Besar itu berulang kali menegaskan bahawa rancangan penyahgazetan itu belum dimuktamadkan dan masih dalam cadangan.

Kerajaan Selangor pada masa ini sedang mengumpul maklum balas daripada notis awam pada 5 Feb yang mengumumkan rancangan berkenaan.

Orang ramai boleh mengemukakan maklum balas mereka kepada Jabatan Perhutanan Selangor sehingga 5 Mac.

Menegaskan bahawa Selangor adalah satu-satunya negeri yang mendapat maklum balas orang ramai mengenai hutan simpannya, Amirudin berkata, kerajaan negeri merancang untuk menggantikan kawasan berkenaan.

"Dan di sini saya nak maklumkan kerana dah sangat banyak bangkit, sebenarnya kerajaan negeri merancang untuk menggantikan kawasan-kawasan hutan ini melebihi daripada kawasan hutan yang dinyahgazet.

"Berbanding dengan 930.93 hektar yang mahu dikecilkan, kawasan gabungan rizab baru akan merangkumi "sekurang-kurangnya" 1,092 hektar.

Beliau berkata kerajaan negeri kini memilih beberapa hutan gambut untuk diwartakan sebagai hutan simpan termasuk plot 308.62 hektar di Sungai Panjang (Sabak Bernam), 606.88 hektar di kawasan yang sama dan plot 190.28 hektar di Buloh Telor (Ampang Pecah).

Bukan sahaja hutan gambut ini mempunyai kualiti yang lebih baik, Amirudin berkata perwartaan Sungai Panjang akan membolehkannya digabungkan dengan Hutan Simpan Raja Musa yang sedia ada - menjadikannya hutan gambut terbesar di Semenanjung.

Semua ini akan memastikan Selangor terus mempunyai 30 peratus atau lebih kawasan tanahnya yang ditetapkan sebagai hutan simpan.

"Dan saya bukan nak jadi MB yang mengurangkan kawasan hutan di negeri selangor, seperti janji saya di Dewan Undangan Negeri dan janji saya di hadapan Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada hari lahir baginda," kata Amirudin semasa sesi soal jawab.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS