Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami bantah penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara'
Diterbitkan:  Feb 20, 2020 12:58 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Pemuda PKR Selangor (AMK) mendesak kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Amirudin Shari menolak cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Khairool Ngadon, berkata Pemuda PKR negeri itu membuat ketetapan membantah cadangan itu memandangkan ia kawasan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa.

"Justeru, Pemuda PKR Selangor mendesak agar Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Amirudin Shari menolak cadangan penyahwartaan ini.

"...Dan menjunjung titah ke bawah duli yang maha mulia Sultan Selangor yang dizahirkan dalam istiadat pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Negeri Selangor ke-14 pada 18 Mac 2019 agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Selangor dikekalkan serta dipelihara dengan baik supaya sumber air di Selangor mencukupi dan tidak terjejas pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amirudin pada 4 Dis 2018, dilaporkan memberitahu bahawa kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan mengenai penyahwartaan sebahagian kawasan Hutan Simpang Bukit Lahong, Gombak bagi membolehkan projek perumahan dijalankan di kawasan itu.

Malah, katanya, mana-mana pihak boleh menyatakan bantahan ketika proses pendengaran awam dijalankan nanti.

Menurutnya, proses pendengaran awam itu perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan membabitkan penyahwartaan dibuat pihak kerajaan negeri.

Semalam Bernama melaporkan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan Selangor supaya tidak memansuhkan status hutan simpan kekal bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara kerana ia kaya dengan sumber biodiversiti unik.

Naib Presiden 1 Peka, Saha Deva berkata sekiranya cadangan pemansuhan itu diteruskan, ia bukan sahaja akan memusnahkan keadaan semula jadi hutan tetapi juga menjejaskan habitat flora dan fauna serta mata pencarian penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut.

“Hutan itu merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS1) dan ia kaya dengan biodiversiti unik termasuk spesies Tupai Pygmy yang hanya boleh ditemui di sana.

“Kawasan tersebut juga merupakan hutan gambut dan bakau kedua terpenting di Selangor selepas Hutan Simpan Raja Musa di Kuala Selangor,” katanya kepada pemberita di Shah Alam.

Sementara itu, Khairool berkata selain berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan, hutan simpan itu juga mempunyai kepentingan bagi masyarakat Orang Asli suku Temuan.

"Struktur tanah gambut ini menjadikan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai kawasan tadahan air bawah tanah yang signifikan.

"Hutan Simpan Langat Utara juga merupakan kawasan rayau bagi Orang Asli suku Temuan yang mencecah jumlah seramai 4,000 orang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS