Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-10: Saidi beritahu saya RM5 juta adalah untuk 'RM' - Saksi

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak masuk hari ke-10 hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Prosiding ditangguhkan

1.15 tengah hari: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan.

Ini berikutan permohonan peguam Rosmah Mansor, Azrul Zulkifli Stork, yang mengatakan pembelaan baru sahaja diberikan kenyataan saksi, Razak Othman.

Azrul mengatakan bahawa peguam perlu mengkaji sebelum mereka boleh membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kelapan itu.

Perbicaraan rasuah Rosmah akan disambung semula pada 9 Mac.


Saidi beritahu saya RM5 juta ​​adalah untuk 'RM' - Saksi

1.13 tengah hari: Saksi pendakwaan ke-8 Razak Othman berkata RM5 juta yang dimuatkan ke dalam dua beg dari sebuah cawangan Maybank adalah untuk "RM".

Razak berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa.

Razak sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau adalah rakan niaga Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings, yang dianugerahkan projek solar hibrid di Sarawak.

Razak sebelum itu memberi keterangan bahawa dia mengikut Saidi ketika mereka pergi membeli dua beg hitam dan kemudian menuju ke cawangan Maybank di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk memuatkan sejumlah RM5 juta ke dalam beg berkenaan.

"Saya tidak tahu kepada siapa dan tujuan wang itu dimasukkan ke dalam kedua-dua beg itu. Namun, sekitar satu atau dua bulan selepas kejadian, Saidi memberitahu saya bahawa wang itu adalah untuk 'RM'.

"Pada masa itu, saya tidak tahu siapa Saidi maksudkan dan pada masa yang sama, saya tidak bertanya kepadanya kerana saya dapat meneka bahawa Saidi sengaja menyimpan rahsia daripada saya mengenai perkara itu," kata Razak.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan dari saksi lain bahawa beg itu dibawa dari Maybank ke Pavilion, dan akhirnya ke sebuah rumah di Jalan Langgak Duta.


Rakan Saidi beri keterangan mengenai duit RM5 juta

1 tengah hari: Razak Othman, yang merupakan ahli perniagaan, memberi keterangan bahawa dia adalah rakan niaga pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, yang berkongsi perniagaan bersama di bawah syarikat bernama Trace Tag Asia Sdn Bhd.

Razak, 52, memberitahu mahkamah bagaimana Saidi (atas, kiri) telah menawarkannya menyertai syarikat itu pada 2016, di mana Saidi memainkan peranan utama sebagai pembiaya syarikat.

Menurut saksi pendakwaan kelapan itu, beliau pada Disember 2016 pergi ke Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur untuk membayar cek sebanyak RM30,000 yang Saidi berikan kepada syarikat tersebut untuk membeli sebuah lori bagi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, sebelum itu, Razak menunggu Saidi di sebuah kedai kopi untuk minum, sebelum masuk ke bank bersama.

Razak memberi keterangan bahawa mereka keluar bank kemudian dan pergi ke sebuah kedai berhampiran kompleks membeli-belah Sogo, di mana Saidi membeli dua beg bagasi hitam.

Mereka kemudian kembali ke tingkat pertama bank yang sama. Razak memberitahu mahkamah bahawa dia membantu Saidi membungkus RM5 juta ke dalam dua beg yang dibeli Saidi sebelum itu.

Wang tunai dalam bentuk not RM100 itu dibahagikan kepada dua beg.

Mereka kemudian mengambil beg dan meletakkannya ke dalam Range Rover Saidi, yang dipandu oleh pemandu Saidi, Shamsul.

Bagaimanapun, sebelum mereka meninggalkan kawasan itu, seorang lelaki yang tidak dikenali Razak, telah menyertai mereka di dalam kereta.

Mereka kemudian pergi ke sebuah bangunan berhampiran kompleks membeli-belah Pavilion, di mana Razak dan Saidi membawa beg ke tingkat atas.

Razak mengatakan bahawa mereka kemudian membawa beg itu kembali ke lobi bangunan, dan memasukkannya ke dalam sebuah kenderaan yang digambarkannya sama ada Toyota Alphard atau Vellfire.

Mereka kemudian meninggalkan bangunan itu dan kembali ke cawangan Maybank berkenaan, di mana Razak mengambil kereta dan pulang ke rumah.

Razak memberi keterangan bahawa dia hanya mengikut Saidi dengan alasan sebagai kawan, dan tidak tahu kepada siapa wang itu diberikan atau untuk tujuan apa.


Saksi kelapan pendakwa dipanggil beri keterangan

12.50 tengah hari: Saksi pendakwaan yang ke-8, Razak Othman dipanggil memberikan keterangan.

Ini selepas saksi ketujuh pendakwaan, Othman Semail, selesai memberikan keterangannya.

Othman, yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, selesai menjalani pemeriksaan balas oleh peguam Rosmah Mansor serta pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan.


Pendakwaan ambil alih pemeriksaan terhadap timbalan KSU Perbendaharaan

12.37 tengah hari: Selesai pihak pembelaan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi ketujuh pendakwaan Othman Semail, DPP Akram Gharib mengambil alih pemeriksaan terhadap timbalan ketua ketiausaha perbendaharaan itu.


'Setakat saya tahu projek solar tak pernah dilaksanakan'

12.35 tengah hari: Mahkamah diberitahu oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan, Othman Semail bahawa setakat pengetahuannya, sistem solar hibrid untuk sekolah-sekolah di Sarawak di bawah kontrak Kementerian Pendidikan dengan Jepak Holdings tidak pernah dilaksanakan.

Othman, yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, mengatakan bahawa hanya bekalan diesel dan penyelenggaraan penjana tenaga diesel di sekolah-sekolah telah dijalankan oleh syarikat itu setakat ini.

"Saya tidak dikemaskini dengan status terkini, sama ada kontrak ini telah ditamatkan atau tidak.

"Tetapi, apa yang telah dijalankan setakat hanya bekalan diesel dan kerja-kerja  penyelenggaraan," katanya ketika memberikan keterangan.

Othman berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam bela Akberdin Abdul Kader.


KPM tahu mereka tak lakukan usaha wajar sebelum keluarkan SST - Saksi

12.25 tengah hari: Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Othman Semail dalam keterangannya berkata "mereka tahu mereka tidak melakukannya" berhubung due diligence (usaha wajar) yang perlu dilakukan sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada Jepak Holdings berhubung projek solar di Sarawak.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian mengenai Perenggan 163 kenyataan saksinya, di mana dia menggunakan perkataan "kenyataan sinis".

"Kenyataan sinis" itu adalah berkaitan dengan surat daripada Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan pada masa itu, Alias ​​Ahmad pada 20 Jan 2017.

Surat itu mengandungi kenyataan bahawa "MoF berpendapat bahawa KPM (Kementerian Pendidikan) telah mengambil segala usaha yang wajar mengenai pelaksanaan perolehan sebelum SST dikeluarkan kepada syarikat (Jepak Holdings) itu".

Sehubungan dengan itu, kenyataan saksi Othman menyatakan bahawa pengeluaran SST untuk projek solar tidak mematuhi prosedur untuk rundingan terus seperti dinyatakan Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan lain.

"Mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak lakukanya. Mereka sepatutnya faham," kata Othman.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini.


11.57: Prosiding disambung semula selepas berhenti rehat


Timbalan KSU Perbendaharaan setuju Kementerian Pendidikan (KPM) tidak sepatutnya keluarkan SST kepada Jepak pada 2016.

11.42 pagi: Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Othman Semail bersetuju bahawa bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias ​​Ahmad tidak sepatutnya mengeluarkan surat setuju terima (SST) kepada Jepak Holdings berhubung projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Akberdin Abdul Kader (bawah).

Akberdin merujuk kepada Othman yang menyatakan banyak pandangan mengenai projek itu melalui memo kepada menteri kewangan dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, namun Setiausaha Kementerian Pendidikan itu tetap mengeluarkan SST.

Akberdin: Adalah aneh bahawa dalam kes ini, kamu mengeluarkan banyak pandangan, walaupun menggunakan perkataan 'sinis' di sini, tetapi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan tahu tentang masalah projek dan masih keluarkan SST pada 10 Nov 2016?

Othman: Kami tidak tahu mereka mengeluarkan SST ketika itu.

Akberdin: Ia mengikut SST, perlu mematuhi prosedur.

Othman: Kami hanya mendapat tahu kemudian.

Akberdin: Adalah tidak wajar untuk dikeluarkan (SST) kerana rundingan harga tidak dilakukan lagi?

Othman: Ya.

Terdahulu, Othman bersetuju bahawa walaupun Perdana Menteri Najib Razak mengeluarkan minit untuk projek itu dijalankan, tetapi Menteri Pendidikan dan pegawai yang terlibat masih diperlukan untuk memastikan bahawa arahan perdana menteri itu sebenarnya boleh dijalankan dan menjelaskan kepada perdana menteri jika ia tidak boleh dilaksanakan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan prosiding berhenti rehat seketika.


Minit Najib pada surat Jepak minta Kementerian Pendidikan ikut prosedur

11 pagi: Peguam Akberdin Abdul Kader ketika pemeriksaan balas terhadap saksi Othman Semail bertanya mengenai prosedur Kementerian Kewangan (MOF) berhubung rundingan terus.

Beliau juga menunjukkan saksi itu, yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, minit yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung projek solar antara 2015 dan 2017.

Ini termasuk minit yang dikeluarkan Najib pada 1 Dis 2015, di mana perdana menteri menulis pada surat Jepak Holdings memetik kelulusannya bagi projek solar berkenaan.

Minit Najib pada Jun 2016 mengarahkan Menteri Pendidikan ketika itu Mahdzir Khalid untuk melaksanakan cadangan Jepak ini; dan satu minit bertarikh 16 Jan 2017.

Minit pada Jan 2017 yang ditulis oleh Najib,mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias Ahmad memantau projek solar hibrid dan "mengikut prosedur untuk memastikan bahawa tidak akan ada masalah untuk pelajar belajar".

Othman kemudian bersetuju dengan cadangan peguam bahawa walaupun Najib mengarahkan projek yang hendak dilaksanakan, perdana menteri juga mahu Kementerian Pendidikan mengikuti prosedur.


10.19 pagi: Tertuduh Rosmah Mansor dilihat masuk dalam kandang tertuduh apabila prosiding bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Dilihat duduk di kandang saksi ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Othman Semail, saksi pendakwaan ketujuh yang dijadual akan disoal balas oleh pihak pembelaan.

Turut kelihatan di mahkamah ialah peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.



9.50 pagi: Tertuduh Rosmah Mansor memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam.

Turut kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula ialah DPP Ahmad Akram Gharib dan DPP lain, serta peguam bela Azrul Zulkifli Stork dan anggota pasukan pembelaan.


Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Othman Semail dijadual akan disoal balas oleh pasukan pembelaan pada hari ke-10 perbicaraan rasuah terhadap Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada akhir prosiding semalam.

Ketika Othman memberi keterangan semasa pemeriksaan utama pada Isnin awal minggu ini, saksi pendakwaan ketujuh itu memberitahu mahkamah antara lain yang Jepak Holdings telah mengancam untuk menghentikan bekalan diesel kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak pada tahun 2017.

Jepak Holdings dianugerahkan projek solar hibrid pada 2016.

Dalam prosiding semalam, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad antara lain memberi keterangan bahawa Rayyan Radzwill Abdullah, ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Jepak Holdings, telah mengganggu dan mengugut pegawai kementerian berhubung projek solar hibrid yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.

Rayyan merupakan rakan perniagaan kepada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Prosiding semalam juga panas seketika apabila DPP Gopal Sri Ram dan peguam Jagjit berbalas jeritan antara antara sama lain, memaksa Hakim Mohamed Zaini Mazlan campur tangan untuk meredakan keadaan.

Prosiding di hadapan Zaini dijangka disambung semula sekitar jam 10 pagi ini, memandangkan hakim biasanya perlu berurusan dengan perkara-perkara melibatkan mahkamah berasingan sekitar jam 9 pagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS