Pendigitalan ekonomi dan transformasi teknologi yang pesat terus akan menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negara, dan sudah pasti, Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkembangan itu.
Menuju ke arah itu, kerajaan dilihat bersungguh-sungguh dalam menggerakkan usaha, termasuk menyediakan capaian teknologi 5G Malaysia bagi mengalakkan lagi rakyat membudayakan teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Mewujudkan masyarakat tanpa tunai bagi negara ini meskipun dilihat masih lagi jauh ke hadapan dan memakan masa yang lama untuk direalisasikan, namun cita-cita besar kerajaan untuk menjadi negara seperti Sweden, Kanada, Jepun dan China yang merupakan antara yang berjaya mewujudkan masyarakat tanpa tunai, adalah tidak mustahil.
Inisiatif e-Tunai Rakyat yang dilancarkan pada 15 Jan lepas, merupakan antara langkah kerajaan dalam menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi, apatah lagi di kala negara sedang melangkah ke era teknologi khususnya dalam dunia Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Noor Azillah Mohamad Ali berkata usaha bagi menerangkan pelbagai aspek mengenai aplikasi transaksi tanpa tunai, e-Dompet, yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat khususnya belia, kini perlu digandakan bagi mendedahkan golongan lain termasuk masyarakat di luar bandar mengenai manfaatnya.
“Pembayaran tanpa tunai ini adalah medium baharu yang mana kerajaan ingin membawa kepada masyarakat tanpa tunai, dan kesediaan masyarakat bukanlah secara total setakat ini, tetapi akan berlaku secara berperingkat.
“Bagi masyarakat yang berada di bandar, penerimaan itu adalah lebih tinggi berbanding masyarakat luar bandar,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Menyifatkan industri e-Dompet ini akan pesat membangun pada masa akan datang, beliau berkata ini dibuktikan dengan sejumlah 42 dompet digital yang telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, setakat ini.
Bagaimanapun katanya, capaian internet yang lemah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, berkemungkinan akan memberi cabaran kepada matlamat kerajaan itu.
Ketika ini, lebih daripada 10 platform e-Dompet diwujudkan seperti Boost, GrabPay, WeChat Pay, Touch n Go Wallet, Paypal dan Setel dan setiap daripadanya memiliki fungsi yang berbeza.
Merujuk kepada perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai jumlah transaksi dibuat melalui perbankan internet meningkat kepada 833.9 juta transaksi pada 2018 berbanding 741.9 juta transaksi pada 2017, Noor Azillah berkata sekiranya trend itu berterusan, adalah tidak mustahil untuk institusi kewangan tergugat seperti mana yang pernah berlaku di Sweden.
Sweden akan menjadi negara pertama tanpa tunai di dunia menjelang tahun 2023 dan akan mengeluarkan mata wang digitalnya sendiri pada tahun hadapan.
“Menurut hasil kajian Nielson Malaysia tahun lepas, pengguna di Malaysia telah berubah kepada penggunaan e-Dompet sebanyak lapan peratus dan apabila semakin banyak pilihan e-Dompet di pasaran yang menawarkan promosi menarik kepada pengguna, adalah tidak mustahil akan ada sedikit perubahan kepada landskap kewangan,” katanya.
Sementara itu, pemilik restoran makanan barat, A&J Burger Grill and Western Mohd Johar M. Jaffar, 37, berkata perniagaan yang diusahakan sejak lapan tahun dahulu kini terpaksa beralih arah kepada sistem tanpa tunai memandangkan ia lebih digemari pelanggan khususnya golongan muda yang cenderung kepada konsep tanpa tunai selain mereka boleh mendapat bayaran balik tunai serta ganjaran.
“Selain itu, ia juga mengurangkan risiko ketirisan daripada juruwang yang mengendalikan kaunter dan bayaran menjadi lebih mudah kerana akan terus masuk ke dalam akaun bank tanpa perlu risau risiko ragut, kecurian memandangkan tidak perlu lagi menyimpan wang tunai di restoran,” katanya yang memiliki lima aplikasi e-Dompet seperti Boost, FavePay, Touch n Go e-Wallet, GrabPay dan QR Pay Maybank.
Anak kelahiran Johor itu berkata e-Dompet juga memudahkan semua urusan transaksi pembayaran dan bergantung kepada data internet berbanding transaksi yang menggunakan kad debit atau kad kredit, yang menggunakan sistem talian, yang kadang kala kurang stabil.
- Bernama