Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumbangan tak diberi jika Zahid bukan TPM, kata saksi

KES ZAHID | Kata Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Bhd (DGB), Chew Ben Ben, jika Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri, dia tidak akan mencadangkan sumbangan RM6 juta kepada BN pada 2017.

Perkara itu diberitahu Chew ketika memberikan keterangan sebagai saksi ke-34 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan Ahmad Zahid yang dituduh melakukan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu memasuki hari ke-17 hari ini.

“Saya ingin menyatakan bahawa sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri, saya tidak akan mencadangkan kepada Datuk Hanifah untuk memberikan wang politik RM6 juta kepada BN melalui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Cadangan saya kepada Datuk Hanifah untuk memberikan sumbangan politik kepada BN melalui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk jangka masa panjang,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Chew merujuk kepada Abu Hanifah Noordin yang merupakan pemilik Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB). Beliau juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas pemegang saham terbesar Datasonic Group Berhad (DGB), serta pengarah dalam Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

Chew pula - selain menjadi timbalan pengarah urusan DGB - juga bertindak sebagai penasihat korporat SKSB dan penasihat kewangan Abu Hanifah.

Nama penerima dikosongkan

Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, Chew menjelaskan, yang dimaksudkannya dengan sumbangan politik “untuk jangka masa panjang” adalah kerana ahli perniagaan sememangnya mengharapkan “politik yang stabil”.

Dalam salah satu pertuduhan rasuah terhadapnya, Zahid - pada 27 April 2017 - dituduh menerima RM6 juta melalui dua keping cek daripada Chew selaku pengarah DTSB, sebagai suapan untuk melantik DTSB melaksanakan perolehan penambahan pembekalan 12.5 juta cip pasport selama lima tahun yang akan dimasukkan ke halaman polikarbonat pasport Malaysia.

Kontrak pembekalan itu diberikan secara rundingan terus.

Katanya, dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Ahmad Zahid di Seri Satria, Putrajaya, pada April 2017 perbualan mereka ada menjurus ke soal pilihan raya dan keadaan politik semasa, menyebabkan dia “dapat mengagak” bahawa BN memerlukan wang politik untuk tujuan urusan pilihan raya.

Ketika bertanya tentang sumbangan dan cara sumbangan untuk BN, Chew menjelaskan, Ahmad Zahid mengarahkannya untuk menyediakan cek atas nama Lewis & Co.

Katanya kenyataan tersebut menyebabkan dia berbincang dengan Abu Hanifah keesokan harinya sebelum majikannya itu bersetuju memberikan sumbangan politik RM6 juta melalui Ahmad Zahid.

Sumbangan itu diberikan melalui dua cek yang dikosongkan penamanya.

“Saya bagitahu Datuk Hanifah untuk kosongkan (nama) penerima, sebab saya tak tahu ejaan sebenar Lewis & Co, sebab itu saya kosongkan,” katanya ketika dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun, kemudiannya.

Bagaimanapun, ketika dibacakan pertuduhan rasuah melibatkan DTSB dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal, Chew menafikan sumbangan itu merupakan rasuah yang diberikan kepada Ahmad Zahid.

Zaidi: Adakah tuduhan-tuduhan ini benar?

Chew: Tak benar. Bagi saya ini satu fitnah.

Malah, katanya lagi, sumbangan itu sebenarnya adalah daripada duit Abu Hanifah yang “kaya-raya”, bukan dirinya yang “banyak hutang”.

Chew turut bersetuju dengan Zaidi bahawa bagi Abu Hanifah, sumbangan politik, amal jariah dan kebajikan semuanya termasuk dalam satu kategori yang sama.

Dia turut bersetuju dengan cadangan Zaidi bahawa wang tersebut dinamakan kepada Lewis & Co kerana firma guaman itu merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi, dan sumbangan itu akan digunakan untuk kerja-kerja amal jariah.

Perbicaraan dijalankan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS