Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waytha cadang langkah bantu Orang Asli pengais sampah
Diterbitkan:  Feb 18, 2020 9:07 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mencadangkan beberapa langkah untuk membantu penduduk di perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran dengan tempat pembuangan sampah di Rompin, Pahang.

Bercakap pada sidang akhbar selepas bertemu dengan penduduk kampung itu hari ini, Waythamoorthy berkata permintaan utama mereka adalah agar penempatan mereka dikekalkan dan juga diwartakan sebagai perkampungan masyarakat Orang Asli.

Kata Waythamoorthy, beliau telah mengemukakan perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan.

"Saya berkesempatan berbincang dengan tuan pegawai daerah yang akan menyemak status kedudukan tanah ini, dan sekiranya tidak terdapat pertindihan, maka bolehlah pihak Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) membuat permohonan untuk mewartakan tanah ini dan juga kerja-kerja pengukuran dan sebagainya," katanya, berdasarkan rakaman sidang media yang diberikan kakitangan pejabatnya.

Waythamoorthy menambah bahawa buat masa ini pihak Jakoa akan membekalkan air bersih setiap minggu secara sementara sehingga bekalan air kekal diperoleh.

Jelasnya, akan ada perbincangan untuk mencari cara menyediakan bekalan elektrik bagi 22 keluarga Orang Asli di kampung itu, termasuk menggunakan tenaga solar.

Waythamoorthy jug amemaklumkan bahawa beliau turut berbincang dengan syarikat kawasan pelupusan sampah itu, SWCorp, untuk melihat kemungkinan mengambil Orang Asli berkenaan bekerja dan menjana pendapatan yang lebih baik.

Menurutnya, pada masa ini, penduduk kampung itu memperoleh pendapatan sampingan antara RM400 hingga RM500 sebulan di tapak pelupusan sampah itu.

"Saya ada bangkitkan beberapa cadangan, macam nak buat fertigasi, kolam ikan. Jadi kosnya berlainan. Walau apa sekalipun kosnya, untuk 22 keluarga ini, mungkin kosnya boleh di antara RM200,000 ke RM500,000.

"Apapun kosnya, kerajaan akan bantu," katanya.

Kisah Orang Asli di kampung itu sebelum ini dilaporkan Malay Mail Jumaat lalu, yang antara lain memaparkan anak-anak Orang Asli yang mengais di timbunan sampah.

Difahamkan bahawa sesetengah penduduk memilih untuk tinggal di sana walaupun tidak mempunyai air kerana mereka boleh mendapat pendapatan sehingga RM700 sebulan dengan aktiviti mengais di tapak pelupusan sampah itu.

Mereka sebelum ini membantah percubaan awal untuk menempatkan mereka di kampung baru di bawah rancangan Rancangan Pengumpulan Semula.

Waythamoorty memberitahu pemberita bahawa kampung itu ditubuhkan antara sepuluh hingga 15 tahun yang lalu, dengan peneroka yang berasal dari enam kampung yang berbeza, dengan jumlah penduduknya kini seramai 82 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS