Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dadah: Hukuman mati mungkin dipinda ke penjara seumur hidup - PM

Kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini termasuk hukuman mati mandatori.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut diambil bagi mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan mengikut trend semasa.

“Saya percaya sudah sampai masanya kita menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend dadah semasa,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Anti Dadah Kenangsaan 2020 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mahathir berkata undang-undang tersebut perlu dikaji kerana ia dilihat terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang-undang sekarang ini amat keras, kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati.

“Maka banyak yang berpendapat bahawa ia tidak berkesan, masih ada mereka yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah.

“Kita akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak, dan kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah, atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang, pada masa sama,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program tersebut.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata mereka yang menjadi penagih dadah tidak dianggap sebagai penjenayah.

“Namun demikian adalah penting bagi kita faham bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu perkara yang tidak baik, yang akan bawa mudarat, bukan sahaja kepada diri kita tetapi kepada keluarga, masyarakat dan kepada negara,” katanya.

Ambil kira perubahan semasa

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucaptamanya turut berkata, langkah-langkah penguatkuasaan dan rawatan pemulihan dadah oleh pihak berkuasa juga perlu diambil perhatian dengan mengambil kira perubahan semasa.

Katanya, ia bagi mempertingkatkan lagi usaha menangani penyalahgunaan dadah agar menjadi lebih tersusun dan berkesan.

Menurut Dr Mahathir, pihak yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah juga harus memahami keperluan pendekatan diberikan seperti yang disarankan oleh National Institute of Drug Abuse.

“Prinsip rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan perlu difahami bahawa tiada rawatan tunggal yang sesuai untuk semua orang.

“Penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah, ahli-ahli lembaga pelawat, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan termasuk mereka yang mengendalikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian perlu mengintegrasikan pendekatan rawatan dan pemulihan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira prinsip rawatan pemulihan dadah yang berkesan,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.

Justeru, tambahnya, adalah menjadi kebimbangan kepada kerajaan dalam peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti Methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru (NPS) di pasaran Asia.

"Kini muncul ratusan bahan psikoaktif baru di seluruh dunia. Pada 2009, hanya 130 jenis NPS dilaporkan. Dari tempoh 2009 sehingga 2019 pula, jumlah jenis NPS yang dilaporkan dari 119 buah negara adalah sebanyak 892 jenis.

"Dadah menjadi sumber pendapatan mudah dan lumayan yang menjadi tarikan berterusan kepada penjenayah tertentu. Jumlah nilai rampasan pada 2019 adalah sebanyak RM3.53 billion, berbanding 2018 sebanyak RM0.58 billion.

"Nilai rampasan yang diperoleh ini menunjukkan bahawa pengedar dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan daripada kesengsaraan orang lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS