Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarah hospital Wuhan korban Covid-19
Diterbitkan:  Feb 18, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Liu Zhiming, pengarah Hospital Wuhan Wuchang di China menjadi korban wabak Covid-19, menurut laporan media.

Memetik laporan televisyen China, Reuters melaporkan Liu meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi tadi.

Liu, 50, dikatakan merupakan tokoh dalam bidang bedah saraf.

Beliau merupakan kakitangan kesihatan ketujuh menjadi korban wabak itu. Hospital Wuhan Wuchang, yang terletak di wilayah yang menjadi pusat wabak koronavirus itu, dikhususkan merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Minggu lepas, pihak berkuasa China mendedahkan sehingga 11 Feb lalu, sejumlah 1,716 pegawai pegawai kesihatan diuji positif Covid-19.

Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa jumlah kes koronavirus baru di tanah besar China jatuh di bawah 2,000 kes hari ini buat kali pertama sejak Januari.

Penularan wabak itu meragut 98 lagi nyawa di tanah besar China pada 17 Feb, menjadikan jumlah kematian di negara itu sebanyak 1,868, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Terdapat 1,886 jangkitan baru yang disahkan yang membawa jumlah keseluruhan 72,436.

Pihak berkuasa China percaya bahawa pola jumlah kes baru yang menurun menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil untuk menghentikan penyebaran wabak itu memberi kesan.

Bagaimanapun, Jimmy Whitworth, profesor Kesihatan Awam Antarabangsa, London School of Hygiene dan Tropical Medicine berkata pihak berkuasa kesihatan global perlu terus berjaga-jaga terhadap wabak yang lebih luas,

"Kita boleh berharap bahawa laporan mengenai jumlah kes baru yang menurun di China menunjukkan bahawa wabak itu telah mencapai tahap kemuncak di wilayah Hubei, tetapi masih terlalu awal untuk memastikannya," katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata data China "menunjukkan penurunan dalam kes-kes baru" tetapi sebarang pola yang jelas "mesti ditafsirkan dengan sangat berhati-hati."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS