Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Beri perhatian pada S'pura, mungkin jadi pusat baru Covid-19

WAWANCARA | Meskipun kadar jangkitan Covid-19 di Wuhan, China semakin menurun, seorang pakar perubatan penyakit berjangkit menyuarakan rasa bimbang akan kemungkinan kewujudan pusat penyebaran baru wabak tersebut.

Menurut Dr Christopher Lee, beliau memberikan perhatian khusus terhadap perkembangan di negara jiran Singapura.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini dan KiniTV semalam, bekas ketua Unit Penyakit Berjangkit di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu merujuk kepada penyebaran wabak itu di Singapura.

Dalam 77 kes virus Covid-19 di Singapura, sejumlah 53 yang berjangkit melalui kontak rapat.

Kini, terdapat 50 kes melibatkan warga Singapura dan tiga kes melibatkan penduduk tetap, Seramai 24 telah sembuh.

Lima dari warga Singapura – yang dijangkiti- tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, di mana virus itu ditemui.

Susulan jumlah kes tersebut, Lee berharap pihak berkuasa Singapura dapat meningkatkan usaha untuk mengesan punca jangkitan Covid-19.

Beliau turut khuatir keadaan akan menjerumus kepada “jangkitan penyebaran manusia ke warga tempatan” dan membawa kepada “kes yang tidak berkaitan”.

“Mereka masih dalam kawalan (dan) mereka masih boleh meneliti semua orang tetapi lebih banyak lagi kes muncul [...] mungkin ada risiko virus ini merebak dan pegawai kesihatan awam di Singapura mungkin tidak dapat mengejar.

“Dan sekali ia berlaku, perkara itu akan menjadi rumit (dan ia menjadi) ‘jangkitan penyebaran manusia ke warga tempatan’ yang kita tidak akan jumpa punca (penyebaran),” katanya.

Sekiranya itu berlaku, Lee berkata tidak banyak yang Malaysia boleh lakukan untuk menghentikan wabak itu daripada tersebar ke negara ini.

Ini pula memandangkan bila lebih dari 300 000 warga Malaysia yang menyeberangi Singapura setiap hari bagi tujuan bekerja atau belajar.

“Ia penting untuk melihat bagaimana Singapura berjaya (membendung wabak itu). Kita juga akan mendapat faedah jika mereka terus melakukan tugas dengan terbaik,” tambahnya.

Kementerian Kesihatan Singapura berjaya menjejak penyebaran kes tersebut di lima lokasi, yang dianggap sebagai “kluster”.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Singapura menjangkakan kemungkinan terdapat kes terbaru. Pulau itu merekodkan tangga ketiga tertinggi bagi kes Covid-19 di seluruh dunia.

Tutup pintu tak akan berhasil

Lee, yang baru tiga minggu bersara sebagai timbalan ketua setiausaha kementerian, juga menjelaskan sekatan perjalanan pergi dan balik ke Singapura tidak akan mampu untuk mencegah “kes yang tidak berkaitan” ketika ia dikesan.

Katanya, ketika kes sebegitu dikesan, sudah pasti ribuan orang sudah pun melepasi Tambak Johor.

“Ketika itu nasi sudah jadi bubur,” katanya merujuk kepada nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap sekatan perjalanan.

Tempoh kuarantin bagi Covid-19 dianggar selama dua ke 14 hari.

Pemeriksaan suhu badan yang lebih ketat di sempadan Singapura-Malaysia akan membantu mengurangkan kadar jangkitan namun Lee berpendapat bahawa kaedah ini lebih kepada "kawalan kerosakan".

“Kita tahu bahawa kita tidak dapat mengesan semuanya, tetapi mungkin dapat segelintir,” tambahnya.

Mula merancang sekarang

Susulan situasi buruk yang mungkin berlaku di Singapura, Lee mencadangkan agar Malaysia mula merangka rancangan mitigasi sekarang.

Ini untuk menyediakan bantuan rawatan dan kawalan bagi dapat membendung peningkatan kepada kes Covid-19.

Beliau menjelaskan segala rancangan mitigasi perlu melangkaui KKM kepada pelbagai sektor kerajaan dan masyarakat.

“Nasihat saya adalah kita kena rancang dahulu bimbang kes meningkat.

"Oleh kerana untuk melaksanakan perkara-perkara ini tidak begitu mudah, ia akan mengambil banyak perancangan dan penyelarasan antara agensi dan sektor masyarakat yang berbeza," katanya.

Sehingga 18 Feb, Malaysia merekodkan 22 kes positif bagi wabak Covid-19, enam merupakan rakyat Malaysia, 15 warga China dan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS).

Sejumlah tiga warga Malaysia dan lima dari China merupakan kes dari kontak rapat.

Kesemua kes berjaya dikesan dan sembilan dilaporkan sudah sembuh.

Kemungkinan pusat penyebaran baru

Selain Singapura, Lee juga berkata dia turut meneliti jumlah kes Covid-19 yang dijangkiti menerusi kontak rapat di bandar-banar di China.

“Jika ia tersebar di Wuhan, ia akan lebih tersebar ke bandar China lain lebih dari rakyat (berjangkit) datang ke Jepun, Singapura atau Malaysia.

“Kalau dilihat Beijing, Shanghai, Shenzhen dan semua bandar besar untuk meneliti kes berhubung kontak rapat, (jika) kes tersebut masih meningkat di China, ia bermakna isu belum selesai,” katanya.

Lee mengingatkan lagi bahawa negara-negara Asia seperti Jepun dan Singapura berpotensi menjadi pusat wabak Covid-19 yang akan datang.

“Jika pegawai kesihatan di negara masing-masing lakukan tugas dengan betul,” lagi banyak kes dari kontak rapat muncul, negara itu berpotensi untuk menjadi pusat epidemik terbaru (wabak Covid-19),” katanya.

Menurut laporan South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong, China mempunyai sejumlah 72,436 kes Covid-19 dan 1,868 kematian direkodkan.

Jepun merekodkan kes kedua tertinggi bagi wabak berkenaan dengan 619 kes, manakala Singapura menduduki tangga ketiga.


Wawancara ini dijalankan oleh Prasadh Michael, Tham Seen Hau, Vivian Yap & Annabelle Lee.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS