Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

IKUIRI SUHAKAM | Saksi pertama inkuiri kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy hari ini mendedahkan, pastor terbabit pernah dicari pihak penguatkuasa agama sebelum ini.

Saksi itu, Peter Pormannan Annamalai, berkata dua tahun selepas dia bertemu Joshua, pastor itu memberitahu ada pihak berkuasa agama sedang mencarinya.

"Dia kata hal itu ada kaitan dengan kepercayaannya serta pengalaman hidupnya," kata Pormannan semasa memberi keterangan di Ibu Pejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, Ruth memang merupakan seorang penganut Kristian manakala suaminya, Joshua, memilih agama berkenaan selepas keluar daripada Islam. Pasangan itu berkahwin pada 2004.

Tidak banyak yang diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat adalah pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Pormannan, 58, berkata, Joshua ada beritahu mengenai kad pengenalannya masih menunjukkan dia seorang Muslim justeru dia ingin menukarnya kerana sudah menganut agama Kristian.

Ugutan panggilan telefon

Sementara itu, saksi kedua Grace Thangamalar, 27, yang merupakan eksekutif logistik pula mendakwa bahawa Joshua dan Ruth pernah mendapat ugutan melalui panggilan telefon sebelum kedua-dua pasangan itu hilang.

Grace dan adik lelakinya sebelum ini tinggal serumah dengan pasangan tersebut di sebuah banglo setingkat di Kampung Tunku, Petaling Jaya, sewaktu melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta.

Menurut saksi pertama sebelum ini, rumah tersebut dijadikan tempat tinggal sementara bagi mereka yang memerlukan.

Grace yang juga merupakan anak perempuan kepada Pormannan berkata dia mendapat tahu mengenai panggilan telefon itu daripada salah seorang penyewa di situ yang berasal dari Sabah, pada 2016.

"Penyewa itu berkata ia merupakan perbualan yang tegang.

"Mereka beritahu saya yang mereka dengar Joshua di telefon mengatakan, 'aku tak kacau kau kenapa kau nak kacau aku'," katanya.

Joshua dikatakan menawarkan anak-anak Peter tinggal di rumah itu sekitar tahun 2015 hingga 2017.

Menurut Grace, ia sebagai membalas jasa baik Peter yang pernah menumpangkan dia dan isterinya di rumah ibu mertua Peter di Klang, selepas pemergian ibu mertuanya.

Selain itu, Grace juga mendedahkan bahawa pihak polis ada menghubunginya buat pertama kali selepas empat tahun kehilangan pasangan terbabit.

Dia juga menjelaskan bahawa terdapat insiden di mana pasangan tersebut secara tiba-tiba meninggalkan rumah itu menaiki kereta Perodua Kancil mereka.

"Selepas sebulan, mereka menghubungi kami dan bertanya sama ada terdapat sesiapa yang ganggu atau ada sebarang gangguan yang berlaku," katanya.

Apabila ditanya oleh pegawai Suhakam sama ada dia tahu mengapa mereka meninggalkan rumah tersebut selama sebulan, Grace menjawab Ruth memberitahunya ia adalah kerana mereka menerima ugutan.

Bagaimanapun, Grace menjelaskan semua ini berlaku apabila empat orang keluarga hadir tinggal di rumah itu.

"Rumah dia selalu terbuka untuk pelbagai kaum dan kadang kala untuk warga asing," katanya.

Katanya, pasangan itu sebelum ini pernah meninggalkan rumah untuk beberapa minggu dan biasanya akan pulang.

"Kerana kami pernah hadapi perkara sedemikian sebelum ini, kami ingatkan mereka akan pulang.

"Kemudian saya beritahu ayah saya yang mereka hilang selepas sebulan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS